Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Potensi niaga di wilayah utara Vietnam bagi firma S’pura: SBF

Aug 2, 2023 | 11:33 AM
FORUM DI HANOI: Persekutuan Perniagaan Singapura menganjurkan Forum Perniagaan Serantau Singapura di luar negara yang pertama di Hanoi pada 7 Julai 2023. Sebanyak 12 perjanjian dimeterai antara pertubuhan Singapura dan Vietnam. Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng (kedua dari kiri), menyertai satu perbincangan.
FORUM DI HANOI: Persekutuan Perniagaan Singapura menganjurkan Forum Perniagaan Serantau Singapura di luar negara yang pertama di Hanoi pada 7 Julai 2023. Sebanyak 12 perjanjian dimeterai antara pertubuhan Singapura dan Vietnam. Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng (kedua dari kiri), menyertai satu perbincangan. - Foto SBF

Walaupun kebanyakan kegiatan ekonomi dan perniagaan di Vietnam bertempat di kawasan selatan selama bertahun-tahun, syarikat-syarikat Singapura kini harus memberi lebih perhatian ke kawasan utara Vietnam termasuk ibu kota Hanoi yang kian berusaha mengembangkan perniagaan.

Dalam satu interviu dengan The Business Times (BT), ketua cawangan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di Vietnam, Cik Amy Wee, berkata kawasan utara negara itu adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi, mempunyai lokasi strategik, pembangunan infrastruktur, pasaran berpotensi dan sokongan pemerintah.

Semua ini menjadikannya destinasi pelaburan yang menarik buat perniagaan Singapura yang mahu mengembangkan kehadiran mereka dan meneroka peluang baru, katanya.

Ini terutamanya baik buat perusahaan kecil dan sederhana dengan sumber terhad kerana mereka akan menghadapi “kurang persaingan” di kawasan utara berbanding di selatan Vietnam.

Pada Julai, SBF dengan lebih 28,000 anggota menganjurkan acara tahunan utamanya, Forum Perniagaan Serantau Singapura, ke luar negara buat julung-julung kalinya.

Seramai 800 pemimpin perniagaan, pegawai pemerintah dan diplomat menghadiri acara itu di Hanoi, termasuk Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng, dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Encik Le Minh Khai.

Sempena forum itu, SBF menganjurkan misi perniagaan empat hari ke Hanoi, yang disertai 25 pertubuhan. Cik Wee berkata misi seumpama itu akan ke utara Vietnam pada hujung September dan awal Oktober 2023 dengan tumpuan dalam pendigitalan dan peluang pembangunan perniagaan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemerintah Vietnam telah mempromosikan pembangunan ekonomi secara aktif di rantau ini yang telah menimbulkan infrastruktur yang lebih baik, penubuhan zon perindustrian baru serta persekitaran yang lebih kondusif dan menggalakkan perniagaan,” kata Cik Wee.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Singapura di Vietnam (SCCV), Encik Yee Chung Seck, berkata walaupun enjin pertumbuhan Vietnam umumnya berada di selatan, aktiviti di Hanoi bertambah rancak, mendorong pelaburan dan pembangunan ekonomi di kawasan utara dalam tempoh sedekad lalu.

SCCV mempunyai hampir 500 anggota, sebahagian besar mendaftarkan perniagaan mereka di Ho Chi Minh City. Encik Yee menjangka keanggotaan di Hanoi akan berkembang pada tahun-tahun akan datang, terutama selepas dewan itu bergabung dengan Persatuan Perniagaan Singapura Vietnam pada awal tahun ini.

Pasaran domestik yang kukuh Vietnam dengan tenaga kerja yang mahir dan muda, telah juga meningkatkan tarikan dan reputasi negara itu sebagai hab pembuatan yang menerajui eksport serantau.

Cik Wee berkata syarikat-syarikat Singapura yang berminat berkembang di Vietnam harus mencari rakan kongsi tempatan yang boleh memberi pandangan pasaran, memudahkan kemasukan pasaran dan mengemudi proses birokrasi negara itu.

Bagi pihak SBF, ia mempunyai Pusat Perusahaan Singapura di Ho Chi Minh City yang menghubungkan syarikat-syarikat Singapura dengan rakan-rakan kongsi berpotensi Vietnam melalui organisasi seperti Agensi Pelaburan Asing dan Pejabat Perdagangan Vietnam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg