Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Produk pelaburan SRS kendalian DBS, OCBC dan UOB mungkin diperluas

Dec 6, 2023 | 2:57 PM
PILIHAN LEBIH MELUAS: Tiga bank tempatan DBS, OCBC dan UOB  telah mencadangkan satu rangka kerja yang menjelaskan kriteria bagi penyedia produk SRS.
PILIHAN LEBIH MELUAS: Tiga bank tempatan DBS, OCBC dan UOB telah mencadangkan satu rangka kerja yang menjelaskan kriteria bagi penyedia produk SRS. - Foto fail

Rangkaian produk pelaburan yang layak bagi Skim Persaraan Tambahan (SRS) mungkin diperluaskan untuk memberi pelabur lebih banyak pilihan mengembangkan simpanan persaraan mereka.

Tiga bank tempatan yang mengendali skim itu – DBS, OCBC dan UOB – telah mencadangkan satu rangka kerja yang menjelaskan kriteria bagi penyedia produk SRS baru yang berminat menyertai skim tersebut.

Dana SRS adalah simpanan persaraan secara sukarela yang disumbang pekerja setempat di samping skim Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurut The Straits Times (ST), rangka kerja itu turut menetapkan garis panduan bagi mengurus penyedia produk SRS dalam usaha memastikan persaingan adil dalam ruang itu.

“Sebilangan penyedia produk termasuk penasihat kewangan digital (robo-advisor), syarikat pengurusan aset dan syarikat insurans telah melahirkan minat untuk menyertai skim SRS di bawah rangka kerja baru itu”, kata ketiga-tiga bank itu dalam kenyataan bersama kepada pertanyaan ST.

“Melindungi persaraan sentiasa menjadi matlamat penting dalam pemikiran ramai pelanggan SRS, dan kami memahami pentingnya memenuhi keperluan pelaburan pelanggan SRS yang berbeza-beza,” kata mereka.

Butiran mengenai produk baru itu akan diumumkan kelak. Garis panduan baru itu dijangka berkuatkuasa pada separuh kedua 2024 selepas badan pemerhati persaingan Singapura menyemak dan menilai rangka kerja itu.

Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) mempelawa maklum balas orang ramai sehingga 11 Disember ini, mengenai cadangan pelaksanaan bersama rangka kerja itu.

SRS membolehkan warga dan penduduk tetap Singapura serta warga asing di sini untuk menyimpan bagi persaraan mereka sambil menikmati penjimatan cukai.

Setiap dolar yang disumbang kepada SRS meraih pelepasan cukai sedolar.

Warga dan penduduk tetap Singapura boleh menikmati pelepasan cukai sehingga maksimum $15,300 setahun, manakala had pelepasan cukai bagi warga asing ialah $35,700 setahun.

Data Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan terdapat 387,377 pemilik akaun SRS sehingga Disember 2022 yang menyumbang kepada $16.3 bilion kesemuanya kepada akaun mereka pada 2022.

Ini merupakan peningkatan 34 peratus dalam bilangan pemilik akaun SRS berbanding Disember 2021, dan kenaikan 13.7 peratus dalam jumlah sumbangan.

Dana SRS boleh dilabur dalam amanah saham, saham, dana amanah pelaburan hartanah (Reits) dan dana dagangan saham (ETF) di Bursa Singapura (SGX).

Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) seperti Bil Perbendaharaan (T-bill) dan Bon Simpanan Singapura (SSB), simpanan tetap dan produk insurans premium tunggal seperti pelan endowmen dan persaraan, juga layak menerima dana SRS.

Saham, Reits dan ETF adalah antara pilihan lebih popular pada 2022 dalam kalangan pelabur, dengan 26 peratus dana SRS dilabur dalam kelas aset ini.

Insurans, yang berada di tempat kedua terdekat, menerima 25 peratus dana SRS, manakala 11 peratus dilabur dalam amanah saham.

Selain tiga bank tempatan tersebut, beberapa institusi kewangan atau wadah pelaburan lain yang dibenarkan mengurus dana SRS termasuk penasihat kewangan digital Endowus, wadah pelaburan FSMOne.com dan firma broker saham PhillipCapital.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg