Cukai setem hartanah yang diperoleh pemerintah susut 2.4 peratus kepada $5.81 bilion bagi tahun kewangan (FY) 2023 berakhir Mac 2024.
Ini disebabkan jumlah urus niaga hartanah berkurangan dan harga jual-beli lebih rendah dalam kedua-dua pasaran jualan dan sewa hartanah.
Hasil cukai setem hartanah merosot sejak pendapatan tertinggi pada tahun kewangan 2021 sebanyak $6.76 bilion, menyusuli beberapa langkah penyejukan pasaran hartanah yang diperkenalkan dari akhir 2021 hingga 2023.
Pendapatan cukai setem bagi tahun kewangan 2023, iaitu dari April 2023 hingga Mac 2024, turun selama dua tahun berturut-turut kepada $5.81 bilion, daripada $5.95 bilion bagi tahun kewangan 2022.
Jumlah tersebut juga 14.1 peratus lebih rendah daripada pendapatan tahun kewangan 2021 sebanyak $6.76 bilion, namun ia lebih tinggi sedikit daripada ramalan awal pendapatan pemerintah sebanyak $5.75 bilion bagi tahun kewangan 2023.
Cukai setem dikenakan ke atas kededua pembeli dan penjual dalam semua urus niaga jual-beli hartanah dan ke atas transaksi hartanah yang disewakan.
Namun, hasil daripada cukai setem yang diraih bagi tahun kewangan 2023 adalah sekitar 38 peratus lebih tinggi daripada $4.2 bilion yang diraih bagi tahun kewangan 2019 sebelum pandemik Covid-19, menurut data Jabatan Akauntan Negara, yang disediakan dalam talian melalui Jabatan Statistik Singapura (SDS).
Pasaran perumahan Singapura menjadi lebih perlahan secara ketara sepanjang 2023.
Jumlah hartanah yang dijual berkurangan, manakala nilai urus niaga juga turun dengan harga rumah lebih rendah, di tengah-tengah keadaan ekonomi tidak menentu dan kadar faedah lebih tinggi, kata ketua penyelidik firma konsultasi hartanah Knight Frank, Encik Leonard Tay.
Pasaran perumahan menjadi kurang rancak kini menyusuli beberapa pusingan langkah penyejukan hartanah yang dilaksanakan sejak 2022, kata Encik Tay.
Ini termasuk cukai lebih tinggi yang dikenakan ke atas kededua pembeli dan penjual rumah, dan kadar cukai hartanah lebih tinggi yang dihadapi pemilik aset.
Data yang dikumpul oleh syarikat konsultasi hartanah Huttons bagi The Business Times (BT) menunjukkan bahawa urus niaga hartanah secara keseluruhan, merangkumi hartanah privet, kondominium eksekutif (EC), jualan semula flat HDB, dan unit komersial dan perindustrian, turun 6.7 peratus kepada 49,403 unit bagi tahun kewangan 2023, daripada 52,932 unit bagi tahun kewangan 2022.
Ketua penyelidik dan pakar strategi di firma hartanah, OrangeTee Group, Cik Christine Sun, berkata bilangan pembeli asing sepanjang setahun lalu juga amat berkurangan, kerana mereka menghadapi Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) sehingga 60 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg