Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramai hartawan dunia pindah ke Dubai tapi simpan aset di S’pura, Switzerland

Dec 4, 2024 | 1:44 PM
Firma Henley & Partners menjangka Amiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat aliran kemasukan jutawan paling tinggi di dunia pada 2024, dengan lebih 6,700 individu, berbanding sekitar 3,500 yang dijangka berhijrah ke Singapura.
Firma Henley & Partners menjangka Amiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat aliran kemasukan jutawan paling tinggi di dunia pada 2024, dengan lebih 6,700 individu, berbanding sekitar 3,500 yang dijangka berhijrah ke Singapura. - Foto REUTERS

Semakin ramai hartawan di seluruh dunia berpindah ke Dubai, sedang kota itu giat meletakkan kedudukannya sebagai hab kekayaan sejagat. 

Namun, ramai masih memilih menyimpan aset mereka di hab kekayaan lebih kukuh seperti Singapura dan Switzerland, menurut pengamat pasaran, lapor The Business Times.

Dalam beberapa tahun kebelakangan, Dubai serta keseluruhan Amiriah Arab Bersatu (UAE) berhasil menarik ramai individu yang mempunyai bakat dan kekayaan privet.

Firma perunding migrasi Henley & Partners menjangka UAE mencatat aliran kemasukan jutawan paling tinggi di dunia pada 2024, dengan lebih 6,700 individu – jauh lebih tinggi daripada sekitar 3,500 jutawan yang dijangka berhijrah ke Singapura.

Menurut firma Boston Consulting Group, UAE juga mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebagai pusat tempahan pada 2023, meningkat 8.9 peratus, atau AS$48 bilion ($64 bilion), dalam kekayaan rentas sempadan.

Pusat tempahan adalah kemudahan menempah aset dan mengakses perkhidmatan pengurusan kekayaan.

UAE dijangka menjadi pusat tempahan aset keenam terbesar di dunia menjelang 2028.

Namun, pelanggan berpendapatan tinggi yang berpindah ke sana masih belum melihat UAE sebagai pusat utama untuk membuka akaun aset, kata Encik Dominic Volek, ketua kumpulan pelanggan privet di Henley & Partners.

“Ramai hartawan masih melihat Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan London sebagai pilihan lebih diiktiraf – dan oleh itu, lebih selamat – dari segi tempahan aset,” katanya.

Encik David Gibson-Moore, presiden merangkap ketua eksekutif Gulf Analytica yang berpusat di Dubai, menonjolkan Singapura dan Switzerland sebagai negara yang mempunyai piawaian emas dalam pengurusan kekayaan.

“Kerangka peraturan yang kukuh dan kestabilan politik mereka amat menarik bagi pelanggan yang tertumpu pada pemeliharaan kekayaan antara generasi,” jelas Encik Gibson-Moore.

Walaupun beberapa bank swasta sejagat mempunyai kehadiran di UAE, mereka biasanya hanya berfungsi sebagai pengurus hubungan tanpa pusat tempahan aset, tambah Encik Volek.

Bank swasta di UAE juga lebih tertumpu pada membantu pelanggan tempatan yang ingin menyimpan dana mereka di luar negara, jelas Encik Gibson-Moore.

Seorang jurucakap daripada Manoharan Capital yang berpangkalan di Singapura menyatakan walaupun modal kekayaan Dubai pesat berkembang, “tetapi apabila dibandingkan dengan Singapura, yang mempunyai kedudukan lebih kukuh, (Singapura) nampaknya seperti pilihan lebih selamat”.

Melangkah ke hadapan, UAE telah mempergiatkan usaha menarik lebih ramai hartawan.

Dubai berhasrat menggandakan ekonominya menjelang 2030 dan menjadi antara tiga bandar terbaik peringkat sejagat bagi pelaburan, kehidupan dan pekerjaan, di bawah agenda ekonomi Dubai ‘D33’.

Visi ekonomi 2030 Abu Dhabi turut bertujuan merombak kerajaan itu menjadi pusat maju dan berdaya saing di peringkat sejagat.

Dengan matlamat ekonomi yang bercita-cita tinggi, Dubai dan Abu Dhabi semakin berkembang sebagai pusat kekayaan dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg