Ramalan eksport utama S’pura dinaikkan susulan permintaan kukuh AI
Ramalan eksport utama S’pura dinaikkan susulan permintaan kukuh AI
Ramalan kadar pertumbuhan bagi eksport utama Singapura telah dinaikkan, berikutan prospek ekonomi sedunia yang semakin baik, terutama didorong permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) dijangka meningkat antara 2 dengan 4 peratus pada 2026, naik daripada ramalan yang dikeluarkan pada November 2025, iaitu antara 0 dengan 2 peratus.
Menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG), permintaan berkaitan AI yang kukuh serta harga emas yang tinggi dijangka terus menyokong pertumbuhan Nodx.
Namun, pertumbuhan boleh terjejas jika ketegangan perdagangan meningkat atau permintaan pelaburan AI berkurang.
Ramalan lebih tinggi untuk 2026 itu menyusuli peningkatan lebih baik daripada jangkaan dalam eksport utama, iaitu 4.8 peratus pada 2025, berbanding pertumbuhan 0.2 peratus pada 2024.
Nodx elektronik meningkat 12.7 peratus tahun ke tahun, dipacu permintaan kukuh berkaitan AI, terutama pada suku keempat 2025.
“Rentak ini dijangka berterusan pada 2026 kerana pesanan eksport bagi segmen elektronik kekal tinggi, dengan firma-firma menjangkakan pesanan lebih tinggi pada suku pertama 2026,” kata EnterpriseSG.
Nodx bukan elektronik turut mencatat pertumbuhan, iaitu 9.4 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025, menjadikan pertumbuhan keseluruhan segmen itu bagi 2025 sebanyak 2.5 peratus.
Lonjakan permintaan hujung tahun, khususnya bagi emas bukan tunai dan produk farmaseutikal, menyumbang ketara kepada pertumbuhan keseluruhan Nodx 2025, ujar EnterpriseSG.
Pertumbuhan itu masing-masing dipacu oleh harga emas yang tinggi, susulan permintaan bagi pelaburan selamat, serta peningkatan pengeluaran produk farmaseutikal pada suku keempat.
EnterpriseSG menambah bahawa sejak perkembangan terakhirnya pada November 2025, prospek ekonomi luaran Singapura bagi 2026 telah bertambah baik, meskipun ketidaktentuan ekonomi masih wujud.
Selain itu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi sejagat kepada 3.3 peratus pada 2026, berbanding anggaran sebelum ini iaitu 3.1 peratus.
Sebilangan besar rakan dagangan utama Singapura, termasuk China, Amerika Syarikat, Kawasan Euro dan Asean, turut menaikkan prospek pertumbuhan mereka, tambah EnterpriseSG.
Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) turut menekankan bahawa peningkatan pesat dalam bidang AI boleh mendorong pertumbuhan dalam perdagangan barangan sejagat pada 2026, melebihi unjuran sebanyak 0.5 peratus yang dianggarkan sebelum ini.
Ramalan eksport utama Singapura bagi 2026 yang dinaikkan itu, selari dengan unjuran IMF yang meramalkan pertumbuhan lebih perlahan bagi perdagangan sejagat pada 2026, jelas EnterpriseSG.
“Perdagangan barangan dan perkhidmatan Singapura meneruskan pertumbuhannya pada 2025. Manakala bagi 2026, keadaan ekonomi sejagat kekal tidak menentu,” kata EnterpriseSG.
“Pertumbuhan Nodx sebahagiannya dijangka didorong oleh segmen elektronik susulan permintaan berkaitan AI yang kukuh, meskipun kadar pertumbuhan keseluruhan mungkin lebih sederhana berbanding 2025.”
Bagi segmen elektronik, litar bersepadu atau cip mencatat pertumbuhan eksport sebanyak 16.3 peratus pada 2025.
Eksport komputer peribadi pula naik 65.1 peratus, manakala produk cakera dan media mencatat pertumbuhan 13.3 peratus.
Bagi segmen bukan elektronik, eksport emas bukan tunai meningkat 56 peratus manakala produk farmaseutikal mencatat pertumbuhan 10.6 peratus.
Eksport struktur kapal dan bot pula mencatat pertumbuhan 188.9 peratus.
Eksport utama ke 10 pasaran tertinggi Singapura secara keseluruhan juga meningkat pada 2025, dipacu terutamanya oleh Taiwan, Korea Selatan dan Zon Euro.
Secara keseluruhan, perdagangan barangan meningkat 8.7 peratus kepada $1.4 trilion pada 2025, berbanding pertumbuhan 6.6 peratus pada 2024.
Sementara itu, perdagangan perkhidmatan secara keseluruhan naik 3.3 peratus pada 2025, satu penurunan daripada peningkatan 13 peratus pada 2024.

