EnterpriseSG sokong 11,700 perusahaan, sasar $12.3b hasil dan 10,000 pekerjaan
EnterpriseSG sokong 11,700 perusahaan, sasar $12.3b hasil dan 10,000 pekerjaan
Di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi sejagat pada 2025, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) telah menyokong 11,700 perusahaan untuk melonjakkan hasil dan memperkukuh kecekapan kos.
Daripada jumlah itu, 2,400 syarikat telah melaksana projek transformasi, yang dijangka menjana $12.3 bilion hasil tahunan dan mencipta 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran di Singapura.
Perkara ini dikongsi oleh Pengerusi EnterpriseSG, Encik Lee Chuan Teck, semasa taklimat media tahunan pada 28 Januari, yang diadakan di pejabat EnterpriseSG di Bugis.
Encik Lee menambah, meskipun unjuran pertumbuhan hasil dan pekerjaan pada 2025 adalah lebih rendah berbanding 2024, ia bukan kejutan, mengambil kira prospek global semasa.
“Seramai 2,400 syarikat telah melaksana projek transformasi pada 2025, jumlah yang setanding dengan tahun sebelumnya.
“Projek-projek ini dijangka menjana $12.3 bilion hasil tahunan dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran di Singapura, bersamaan dengan purata $7.5 juta hasil tambahan bagi setiap syarikat.
“Walaupun unjuran pertumbuhan hasil dan pekerjaan ini lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, meskipun jumlah keseluruhan projek adalah setara, keadaan ini tidak mengejutkan memandangkan prospek global yang mencabar.
“Namun begitu, keberanian perusahaan untuk tetap melaksanakan pelan transformasi dan pertumbuhan dalam persekitaran sedemikian wajar dipuji,” ujar Encik Lee.
Projek-projek transformasi merujuk kepada inisiatif berskala lebih besar yang memberi tumpuan kepada transformasi perniagaan, pembangunan serta pelaksanaan strategi perniagaan baru bagi memperkukuh kehadiran pasaran, atau penciptaan produk baru untuk meluaskan sumber hasil.
Dalam pada itu, EnterpriseSG telah membantu perusahaan dalam tiga bidang utama – pengantarabangsaan, inovasi dan pembinaan keupayaan teras.
Dari segi jangkauan antarabangsa, perusahaan Singapura, dengan sokongan EnterpriseSG, telah meneroka 76 pasaran asing, membuka peluang baru di Angola dan Fiji.
Encik Lee berkongsi perincian menarik: firma perabot tempatan seperti Castlery kini menembusi pasaran United Kingdom dan Australia.
The French American Bakery, sebuah kedai pastri artisan halal, juga bekerjasama dengan Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk merangka strategi pengantarabangsaan.
“Dengan bimbingan penasihat perniagaan, syarikat itu menyertai Ekspo Halal di Bosnia dan Herzegovina.
“Hasilnya, The French American Bakery berjaya menjalin perkongsian perniagaan dan kini sedang meneroka peluang francais di Amiriah Arab Bersatu (UAE),” kata EnterpriseSG dalam satu kenyataan.
Ia menambah pihaknya turut membantu syarikat mempelbagaikan rantaian bekalan mereka merentas pasaran baru, membina ketahanan terhadap sebarang gangguan perdagangan.
Syarikat yang mengambil inisiatif ini menjangkakan peningkatan pendapatan tahunan sebanyak $8.9 juta setiap satu, setanding dengan anggaran tahun 2024, ujar EnterpriseSG.
Syarikat yang melaksanakan projek inovasi untuk membangunkan produk dan penyelesaian baru menjangkakan peningkatan hasil tahunan sebanyak $11.2 juta bagi setiap syarikat.
Tambahan pula, syarikat yang meningkatkan kecekapan kos melalui pembinaan keupayaan teras, automasi dan reka bentuk semula proses menganggarkan peningkatan hasil tahunan sebanyak $5.9 juta serta penjimatan kos sekitar $200,000 bagi setiap syarikat.
Bagi 2026, EnterpriseSG akan terus menyokong perusahaan Singapura untuk mengembangkan sayap ke pasaran antarabangsa dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Usaha ini turut melibatkan perluasan jangkauan kepada SME melalui platform digital baru, myEnterprise, dan Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TAC).

