Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rwanda negara ke-6 tandatangan pakatan kredit karbon dengan S’pura

May 7, 2025 | 2:59 PM
Grace Fu, Dr Valentine Uwamariya
Perjanjian pelaksanaan perdagangan karbon ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Sekitaran Rwanda, Dr Valentine Uwamariya. - Foto MTI

Rwanda, negara Afrika Timur yang tidak mempunyai garis pantai, telah menjadi negara terbaru yang memuktamadkan perjanjian perdagangan karbon dengan Singapura – menjadikannya perjanjian keenam yang dimeterai Singapura sejak akhir 2023.

Perjanjian pelaksanaan itu ditandatangani pada 6 Mei oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Menteri Sekitaran Rwanda, Dr Valentine Uwamariya, semasa lawatannya ke Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, berkata perjanjian perdagangan karbon tersebut memperkukuh lagi kerjasama antara Singapura dengan Rwanda dalam bidang yang berpotensi tinggi seperti ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech).

Dr Uwamariya berkata: “Melalui perjanjian ini, kami berhasrat mempromosikan pasaran karbon berkewibawaan tinggi, mencapai pengurangan pelepasan ketara dan menyokong pembangunan mampan untuk masyarakat kita.”

Singapura telah memeterai perjanjian serupa dengan Papua New Guinea, Ghana, Bhutan, Peru dan Chile.

Perjanjian dua hala tersebut membolehkan Singapura membeli kredit karbon bagi mengimbangi sebahagian daripada pelepasan gas rumah hijau, sekali gus membantunya mencapai sasaran iklim di bawah Perjanjian Paris.

Di bawah Perjanjian Paris, sesebuah negara boleh membeli kredit karbon yang dijana dalam bidang kuasa lain bagi memenuhi sasaran iklim domestik.

Sebelum ini, Singapura menganggarkan ia akan menggunakan kredit karbon bermutu tinggi bagi mengimbangi sekitar 2.5 juta tan pelepasan setahun dari 2021 hingga 2030.

Sebagai contoh, jumlah keseluruhan pelepasan Singapura pada 2030 dijangka mencecah 62.51 juta tan dan akan dikurangkan kepada sasaran 60 juta tan dengan penggunaan kredit karbon.

Kredit ini boleh dibeli oleh pemerintah Singapura atau syarikat yang dikenakan cukai karbon.

Syarikat sedemikian boleh membeli kredit karbon daripada projek di negara rakan kerjasama bagi mengimbangi sehingga 5 peratus daripada pelepasan yang dikenakan cukai mereka.

Kredit yang digunakan untuk mengimbangi pelepasan nasional hanya boleh dibeli daripada projek karbon di negara yang mempunyai perjanjian dua hala dengan Singapura, yang secara rasmi dikenali sebagai perjanjian pelaksanaan.

Satu kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida yang diluputkan dari atmosfera, seperti melalui projek pemulihan ekosistem, atau dihalang daripada dilepaskan dengan memelihara kawasan hutan daripada gejala pembalakan.

Singapura juga sedang memajukan rundingan perdagangan karbon dengan lebih 15 negara lain, termasuk Malaysia, Filipina dan Sri Lanka.

Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) berkata Asia Tenggara berpotensi besar dalam menyediakan kredit karbon berasaskan alam semula jadi, memandangkan rantau ini kaya dengan tanah gambut dan paya bakau yang mengandungi karbon tinggi.

Namun, Singapura masih belum memeterai sebarang perjanjian pelaksanaan dengan negara Asia Tenggara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg