NEW YORK: Saham syarikat teknologi utama Amerika Syarikat, Nvidia, menjunam selepas pelabur menyuarakan kebimbangan terhadap syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) asal China, DeepSeek, sekali gus menyebabkan nilai pasaran syarikat itu jatuh ke paras rekod terendah.
Saham Nvidia susut 17 peratus pada 27 Januari, menyebabkan nilai pasarannya berkurangan sebanyak AS$589 bilion ($792 bilion). Ia merupakan kerugian terbesar dalam sejarah pasaran saham Amerika.
Jumlah kerugian itu melebihi rekod yang dicatatkan pada September 2024, di mana saham Nvidia susut 9 peratus, menyebabkan nilai pasarannya berkurang sekitar AS$279 bilion.
Kejatuhan saham Nvidia turut memberi kesan besar kepada pasaran lain kerana syarikat itu mempengaruhi indeks utama.
Menurut Bloomberg, kejatuhan saham Nvidia telah menyumbang kepada lapan daripada 10 kejatuhan terbesar dalam sehari bagi Indeks S&P 500 berdasarkan nilai pasaran.
Pada 27 Januari, S&P 500 turun 1.5 peratus manakala Nasdaq 100 menjunam hampir 3 peratus.
DeepSeek turut memacu penjualan saham teknologi secara meluas, kerana ia dilihat mampu menawarkan teknologi yang setanding dengan syarikat besar Amerika – yang dikatakan telah melabur terlalu banyak dalam pembangunan AI – pada harga yang jauh lebih rendah.
Model AI terbaru DeepSeek, yang dilancarkan baru-baru ini, dianggap mampu bersaing dengan model ChatGPT milik OpenAI, serta Facebook milik Meta Platforms, lapor Bloomberg.
Produk sumber terbuka yang kini berada di kedudukan teratas dalam senarai muat turun Apple App Store itu diasaskan oleh pengurus dana perlindungan, Encik Liang Wenfeng.
“Kebimbangan timbul mengenai kemungkinan ia mampu mengganggu model perniagaan AI semasa, yang bergantung pada cip berprestasi tinggi serta kuasa pengkomputeran dan tenaga yang besar,” kata penganalisis bank pelaburan, Jefferies, kepada klien mereka.
Nvidia merupakan penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan syarikat ke atas pembangunan AI kerana ia mereka cip semikonduktor yang digunakan dalam teknologi tersebut.
Walaupun syarikat dijangka terus membuat perbelanjaan besar dalam pembangunan AI, pelabur mungkin berfikir dua kali untuk terus menyokong syarikat yang tidak menunjukkan pulangan pelaburan (ROI) yang mencukupi.
Pada 24 Januari, Meta mengumumkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan modal bagi projek AI pada 2025 sehingga AS$65 bilion, yang seterusnya membawa sahamnya kepada rekod tertinggi.
Pengumuman itu menyusuli langkah OpenAI, SoftBank Group dan Oracle yang melancarkan usaha sama bernilai AS$100 bilion yang dinamakan Stargate, untuk membina pusat data dan projek prasarana AI di seluruh Amerika.
Dalam usaha menyekat kemajuan China dalam bidang AI, Amerika telah melarang eksport teknologi semikonduktor canggih ke negara itu dan mengehadkan jualan cip AI Nvidia lanjutan kepada pihak lain.
Namun, kemajuan DeepSeek menunjukkan bahawa jurutera AI China telah menemui cara untuk mengatasi sekatan itu, dengan memberi tumpuan kepada kecekapan yang lebih tinggi menggunakan sumber terhad.
Nvidia berkata dalam satu kenyataan pada 27 Januari bahawa model DeepSeek adalah satu “kemajuan AI yang cemerlang” dan menunjukkan bahawa syarikat itu mampu membangunkan teknologi tanpa melanggar sekatan Amerika terhadapnya.
Ia juga menambah bahawa inferens, atau kerja-kerja mengendalikan model AI, “memerlukan sejumlah besar unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia dan rangkaian berprestasi tinggi”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg