MIAMI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengungkapkan bahawa teknologi yang dibangunkan syarikat permulaan China, DeepSeek, seharusnya menjadi peringatan kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat untuk lebih berdaya saing.
Encik Trump menekankan bahawa ia adalah satu perkembangan positif apabila syarikat-syarikat China dapat mencipta kaedah kecerdasan buatan (AI) yang lebih pantas dan lebih murah.
“Peluncuran DeepSeek, AI daripada syarikat China, sepatutnya menjadi isyarat bagi industri kita bahawa kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk bersaing dan menang,” kata Encik Trump di satu rahat kongres Republikan di Miami pada 27 Januari.
Encik Trump turut memuji inovasi yang dilakukan syarikat-syarikat China, terutama yang dapat mengeluarkan teknologi AI dengan kos yang lebih rendah.
“Saya sudah baca tentang China dan beberapa syarikat di sana, satu yang datang dengan kaedah AI yang lebih pantas dan jauh lebih murah, dan itu bagus kerana ia mengurangkan kos,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini membawa manfaat kepada industri AS, kerana dengan cara ini, syarikat-syarikat Amerika tidak perlu membelanjakan sejumlah besar wang tetapi tetap dapat mencapai hasil yang sama.
“Kami sentiasa mempunyai idea. Kami sentiasa yang pertama. Jadi saya anggap ini satu perkembangan yang positif,” ujar Encik Trump lagi.
Kebimbangan terhadap ancaman teknologi AI China semakin meningkat, dengan beberapa syarikat teknologi Amerika turut terkesan.
Pada 27 Januari, saham-saham syarikat teknologi di seluruh dunia jatuh berikutan kebimbangan bahawa kemunculan model AI China yang murah akan mengancam dominasi model-model AI yang sedia ada.
DeepSeek, yang dilancarkan pada 10 Januari lalu, menjadi aplikasi yang paling popular di App Store Amerika Syarikat.
Teknologi DeepSeek yang dipacu model DeepSeek-V3 dilaporkan mampu bersaing dengan model-model AI tertutup yang paling canggih di dunia.
Walaupun baru ditubuhkan pada 2023, syarikat ini telah mencuri perhatian Silicon Valley, dan dilihat sebagai satu cabaran besar kepada kedudukan dominan AS dalam bidang AI.
Pada masa yang sama, syarikat ini turut menghadapi masalah teknikal. Pada 27 Januari, DeepSeek mengumumkan bahawa ia terpaksa mengehadkan pendaftaran pengguna buat sementara waktu kerana serangan siber selepas popularitinya melonjak mendadak.
Laman web mereka turut mengalami gangguan, yang dilaporkan sebagai yang terpanjang dalam tempoh 90 hari.
“Penggunaan model DeepSeek-V3 yang menggunakan cip H800 Nvidia untuk latihan dikatakan lebih murah daripada model AI lain yang lebih mahal, dengan kos kurang daripada AS$6 juta ($8.1 juta),” kata para penyelidik DeepSeek dalam satu kajian mereka.
Keberkesanan cip-cip ini, yang lebih murah berbanding cip-cip Nvidia yang paling maju, telah menimbulkan persoalan di kalangan eksekutif teknologi Amerika tentang keberkesanan kawalan eksport yang dikenakan pentadbiran Joe Biden.
Sebagai reaksi terhadap kejayaan DeepSeek, sektor teknologi global dilanda kebimbangan mengenai kemunculan model-model AI berharga rendah dari China yang berpotensi menggugat kedudukan syarikat-syarikat gergasi Amerika seperti Nvidia dan Oracle.
Seiring dengan itu, beberapa pelabur turut menjual saham syarikat teknologi mereka, dengan Nvidia dan Oracle mengalami kejatuhan yang ketara.
Menurut Encik Trump, walaupun Ameria\ka menghadapi cabaran baru dari China, beliau masih yakin bahawa inovasi dan daya saing negara ini akan terus menjadi kunci utama dalam teknologi AI global.
Pada masa yang sama, Encik Trump sedang mempersiapkan satu perintah eksekutif untuk melancarkan sistem pertahanan “generasi seterusnya” bagi melindungi Amerika daripada serangan peluru berpandu balistik dan serangan jarak jauh lain.
Satu dokumen Rumah Putih mengenai perintah eksekutif yang akan datang menyatakan:
“Ancaman serangan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah, dan peluru berpandu hipersonik kekal menjadi ancaman besar yang dihadapi oleh Amerika Syarikat.”
Dokumen tersebut menyebut bahawa Encik Trump akan memerintahkan pembinaan pelindung “Iron Dome” yang dibandingkan dengan sistem terkenal Israel, yang dibangunkan dengan kerjasama Amerika dan direka untuk menghadapi ancaman termasuk dron, roket, dan peluru berpandu jelajah.
Sistem ini perlu lebih canggih daripada apa yang ditawarkan oleh Iron Dome Israel jika ia ingin melindungi seluruh Amerika.
Raytheon, unit RTX Corp yang menghasilkan Iron Dome bersama Rafael Advanced Defence Systems Israel, mengatakan bahawa peluru berpandu Tamir mampu menurunkan senjata yang dilancarkan dari jarak 4 kilometer hingga 70 kilometer. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg