Saham jatuh, emas dan perak catat rekod tertinggi akibat ancaman tarif Greenland oleh Trump
Saham jatuh, emas dan perak catat rekod tertinggi akibat ancaman tarif Greenland oleh Trump
Saham di sebilangan negara merosot sementara harga emas dan perak melonjak ke rekod tertinggi pada 19 Januari selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau akan mengenakan tarif ke atas lapan negara Eropah yang menentang rancangannya untuk mengambil alih Greenland, sekali gus melemahkan minat pelabur terhadap risiko sambil meningkatkan permintaan bagi aset selamat.
Indeks Straits Times (STI) Singapura mengurangkan kejatuhan 0.6 peratus pada waktu pagi untuk ditutup 0.3 peratus. Nikkei Jepun merosot 0.7 peratus manakala Hang Seng Index Hong Kong jatuh 1.1 peratus.
Di pasaran Eropah, niaga hadapan EUROSTOXX 50 dan DAX masing-masing merosot 1.1 peratus. Di Amerika, niaga hadapan S&P 500 turun 0.8 peratus manakala Nasdaq, indeks teknologi, jatuh 1.1 peratus.
Emas spot, iaitu harga emas untuk pembelian segera, melonjak 1.7 peratus kepada AS$4,672.1 ($6,008.88) bagi setiap auns di Singapura pada 5.30 petang, mencapai paras tinggi AS$4,690.59 sebelum ini.
Perak pula meningkat 4.7 peratus bagi satu auns kepada AS$92.73 dan sempat mencecah AS$94.1213 sebelum ini. Harga platinum dan palladium turut naik.
Dolar Amerika merosot apabila pelabur berpindah ke yen dan franc Swiss yang dianggap aset selamat. Dolar turun 0.4 peratus berbanding franc Swiss kepada 0.7988 dan merosot 0.2 peratus kepada 157.80 yen.
Indeks Bloomberg Dollar Spot jatuh 0.19 peratus kepada 99.18.
Encik Trump mengumumkan tambahan tarif 10 peratus ke atas barangan dari sebilangan negara termasuk Perancis, Jerman dan Britain, yang akan bermula 1 Februari dan meningkat kepada 25 peratus pada Jun “jika tiada kesepakatan dicapai untuk satu tawaran bagi pembelian lengkap Greenland.”
Langkah itu mencetuskan kebimbangan tentang tindak balas daripada Eropah, yang berpotensi menimbulkan perang perdagangan besar, sekali gus menyokong permintaan terhadap logam berharga.
Pemimpin Eropah akan mengadakan mesyuarat kecemasan dalam beberapa hari akan datang untuk meneliti langkah balas.
Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sedang membincangkan beberapa pilihan tindak balas, termasuk mengenakan levi tindak balas ke atas barangan Amerika bernilai 93 bilion euro ($139 bilion), menurut sumber yang mengetahui perbincangan itu.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mungkin mencadangkan penggunaan alat antipaksaan EU, iaitu kaedah balas paling kuat yang dimiliki blok itu.
“Keputusan daripada ketegangan perdagangan baru ini tidak jelas, namun apa yang telah lama nyata ialah tiada lagi kepastian dalam perdagangan atau tarif,” kata penganalisis termasuk Ketua Makro Global ING Bank, Encik Carsten Brzeski, dalam nota kepada pelanggan.
“Yang jelas ialah perang perdagangan sepenuhnya antara EU dengan Amerika hanya akan merugikan banyak pihak.”
Sesetengah penganalisis melihat tindakan tarif Encik Trump semata-mata sebagai taktik rundingan untuk mendapatkan kelebihan menjelang Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos minggu ini.
“Saya menjangkakan ancaman ini akan segera ada ‘jalan keluar’, dan ia mungkin menjadi satu lagi ‘detik Taco’,” kata ahli strategi, Encik Michael Brown daripada Pepperstone Group di London.
Taco, singkatan daripada “Trump Always Chickens Out” (Trump Selalu Mengundur), ialah istilah yang menjadi terkenal pada 2025 selepas banyak ancaman dibuat dan kemudian ditarik balik semasa perang perdagangan global yang dimulakan dengan tarif “Hari Pembebasan” Encik Trump.
Harga logam berharga seperti emas dan perak meningkat dengan ketara pada 2026 selepas kenaikan besar pada 2025, dipacu oleh ketegangan geopolitik termasuk campur tangan Amerika terhadap Venezuela dan ancaman terhadap Greenland. – Agensi berita.

