Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saham SingPost turun 11.8%, alami rugi separuh kedua tahun kewangan

Kerugian berikutan keadaan kian mencabar dan tidak menentu dalam sektor logistik sedunia
May 15, 2025 | 6:18 PM
Menurut SingPost, prospek ekonomi sedunia masih tidak menentu akibat ketegangan perdagangan yang berterusan, dengan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat dan langkah tindak balas daripada rakan dagang utama.
Menurut SingPost, prospek ekonomi sedunia masih tidak menentu akibat ketegangan perdagangan yang berterusan, dengan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat dan langkah tindak balas daripada rakan dagang utama. - Foto ST

Singapore Post (SingPost) mengumumkan pemberian dividen khas sebanyak sembilan sen sesaham, selepas ia mencatat keuntungan luar biasa bersih sebanyak $222.2 juta, sebahagian besarnya disebabkan penjualan perniagaannya di Australia baru-baru ini.

Termasuk dividen interim sebanyak 0.34 sen, yang telah dibayar sebelum ini, para pemegang saham SingPost dijangka menerima dividen berjumlah 9.34 sen, menurut syarikat itu pada 15 Mei.

Keuntungan luar biasa bersih SingPost sebanyak $222.2 juta bagi seluruh tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2025, sebahagian besarnya disebabkan keuntungan $302.1 juta daripada penjualan perniagaan logistiknya di Australia, Freight Management Holdings (FMH).

Namun, keuntungan tersebut diimbangi sebahagiannya oleh bayaran susut nilai sebanyak $79.6 juta bagi satu lagi perniagaan syarikat itu, Quantium Solutions.

Bagi seluruh tahun hingga 31 Mac 2025, keuntungan bersih syarikat penghantaran surat dan bungkusan Singapura itu berjumlah $245.1 juta – meningkat 212.9 peratus berbanding $78.3 juta bagi tahun sebelumnya.

Namun, tidak termasuk keuntungan luar biasa bersih, keuntungan bersih asas syarikat itu merosot 40.3 peratus kepada $24.8 juta.

Bagi separuh kedua tahun kewangan, SingPost mencatat kerugian bersih asas sebanyak $0.5 juta, berbanding keuntungan $28.1 juta bagi tempoh sama pada 2024.

Saham SingPost merosot sehingga 12.1 peratus sebelum ditutup pada 56 sen pada sesi perdagangan pagi – turun 11.8 peratus atau 7.5 sen, lapor The Straits Times.

“Kemerosotan ini mencerminkan keadaan semakin mencabar dan tidak menentu dalam sektor logistik sedunia,” kata syarikat itu.

Menurut SingPost, prospek ekonomi sedunia masih tidak menentu akibat ketegangan perdagangan yang berterusan dengan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat dan langkah tindak balas daripada rakan dagang utama. 

“Dalam sektor logistik, kesannya amat ketara. Jumlah penghantaran (surat dan bungkusan) rentas sempadan telah terjejas.

“Keadaan ini, ditambah pula dengan ketegangan geopolitik, telah membawa kepada persekitaran operasi yang lebih tidak menentu dan mencabar,” kata SingPost.

Ia menambah bahawa keadaan mencabar tersebut semakin meruncing pada separuh kedua tahun kewangan, dan dijangka berterusan pada tahun kewangan akan datang.

SingPost telah menyelesaikan penjualan FMH pada harga A$1.02 bilion ($853 juta) pada Mac 2025.

Menurut syarikat itu, selepas penjualan perniagaan tersebut di Australia, ia telah mengambil langkah untuk memberi tumpuan lebih jelas kepada perniagaan utamanya, termasuk memperkemas operasi dan menyesuaikan kos perniagaan.

Perniagaan rentas sempadan antarabangsa syarikat itu telah disepadukan semula ke dalam perniagaan pos dan logistik Singapura untuk mencapai sinergi perniagaan, selain meningkatkan kecekapan operasi, tambahnya.

Dalam taklimat media pada 15 Mei, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) SingPost, Encik Isaac Mah, berkata pasaran antarabangsa sangat berdaya saing disebabkan kehadiran para pemain di peringkat sejagat.

Tambahan pula SingPost tidak mempunyai skala operasi seperti pesaingnya, ujarnya.

“Memandangkan persekitaran mencabar dan risiko berkaitan ketegangan geopolitik, kami telah memutuskan untuk berundur daripada pasaran (niaga rentas sempadan) ini, dan menumpukan perhatian pada kecekapan utama kami di Singapura,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg