Lima eksekutif kanan telah mengumumkan dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka telah meninggalkan Singapore Post (SingPost), dengan ada antara mereka menjelaskan mereka telah diberhentikan.
Pengumuman di LinkedIn pada 1 dan 2 April menyusuli beberapa hantaran seperti itu pada Mac dan satu lagi pada 1 April, daripada dua eksekutif lain yang mengatakan mereka juga telah meninggalkan syarikat itu.
Berita itu muncul, sedang SingPost menjalani penyusunan semula bagi mengoptimumkan operasi dan fungsi korporatnya, dan di tengah-tengah perbincangan dengan pemerintah bagi merangka satu model operasi yang mampan untuk perniagaan pos domestik, lapor The Straits Times (ST).
Lima eksekutif kanan itu, yang terdiri daripada ketua strategi dan perhubungan, Encik Lee Eng Keat; ketua pegawai kakitangan kumpulan, Cik Sehr Ahmed; ketua pegawai maklumat kumpulan, Encik Noel Singgih; ketua pegawai kemampanan, Cik Michelle Lee; dan ketua pegawai keselamatan maklumat, Cik Audrey Teoh; mengumumkan di LinkedIn, mereka tidak lagi bersama firma itu.
Ketua prasarana dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT), Encik Hendrik Liyuwardi, dan timbalan naib presiden penyampaian projek IT, Encik Kim Voraphol A., juga telah menyiarkan di platform media sosial itu tentang pemergian mereka daripada syarikat itu.
SingPost sedang melakukan penyusunan semula bagi mencapai “saiz terbaik” dan “menguatkan keupayaan operasi unit perniagaan dengan menghapuskan fungsi duplikasi,” kata syarikat itu, merujuk kepada satu kenyataan 25 Februari sebagai jawapan kepada pertanyaan ST pada 1 April.
Kenyataan itu berkata penyusunan semula, yang akan mengambil masa beberapa bulan, akan menjejas 45 jawatan, terutama dalam unit sokongan korporat, dengan sebilangan kecil daripadanya terdiri daripada kakitangan bahagian perniagaan antarabangsa, yang peranannya telah berkembang.
SingPost juga menambah ia “kehabisan pilihan lain” bagi mencari jawatan alternatif dalam syarikat itu buat mereka yang terjejas.
Apabila ditanya berapa ramai daripada 45 kakitangan itu yang telah diberhentikan, SingPost berkata ia “tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai bilangan tertentu pekerja yang terjejas pada ketika ini”.
Penyusunan semula itu adalah “ekoran cabaran makroekonomi berpanjangan, termasuk persaingan sengit,” kata SingPost dalam satu kenyataan Februari, sambil menambah langkah itu tiada kaitan dengan insiden dan laporan pemberi maklumat sebelum ini.
SingPost menerima laporan pemberi maklumat yang mendedahkan kes pemalsuan data di unit perniagaan antarabangsa syarikat itu pada 2024.
Tiga eksekutif kanan iaitu ketua eksekutif kumpulan, Encik Vincent Phang; ketua pegawai kewangan, Encik Vincent Yik; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) unit perniagaan antarabangsa, Encik Yu Li; kemudian dipecat kerana salah mengendalikan laporan itu, kata SingPost. Ketiga-tiga mereka telah mendapatkan khidmat peguam dan membantah keputusan itu.
Pemergian kakitangan itu berlaku selepas SingPost menjual Freight Management Holdings (FMH), perniagaan logistiknya di Australia, dengan harga A$781.5 juta ($661 juta) pada 27 Mac.
Memandangkan FMH adalah salah satu asetnya yang paling menguntungkan, SingPost menjelaskan model perniagaan syarikat itu perlu dibaik pulih untuk kekal mampan.
Saham SingPost ditutup pada harga 60 sen pada 3 April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg