Sarawak merancang memperkukuh perdagangan dan keterhubungan antara Sarawak dengan Singapura.
Ini ditekankan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam satu sidang media di Pusat Konvensyen Suntec City pada 16 Oktober, sempena Pameran Mega Sarawak 2025, yang turut berlangsung di lokasi sama.
Bagi meningkatkan hubungan udara antara Sarawak dan Singapura, Tan Sri Abang Johari, berkata Sarawak berharap dapat menambah kekerapan penerbangan seperti Scoot, serta syarikat penerbangan Air Borneo, ke Singapura.
“Kami berharap dapat menambah kekerapan penerbangan seperti Scoot dan tentunya Air Borneo, ke Singapura.
“Apabila ada mobiliti, itu ibarat ‘jambatan’ yang membawa orang ramai datang ke Sarawak,” katanya dalam sidang media tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk membekalkan 1,000 megawatt tenaga hijau kepada Singapura, sekali gus menandakan era baru dalam kerjasama tenaga rentas sempadan.
“Kami sedang bekerjasama dengan pemerintah Singapura. Kabel akan dibangunkan antara Sarawak dengan Semenanjung, seterusnya disambungkan ke Singapura. Ini satu langkah besar,” ujarnya.
“Kami juga mengalu-alukan bakat muda Singapura yang sejajar dengan keperluan Sarawak, untuk bekerjasama dengan tenaga mahir di negeri kami.
“Golongan ini yang tamat pengajian di universiti dan politeknik, mempunyai kemahiran serta latihan yang baik,” tambah beliau.
Sarawak juga berhasrat memperkenalkan lebih banyak jenama tempatan kepada masyarakat Singapura dan Pameran Mega Sarawak 2025 dari 16 hingga 19 Oktober menjadi salah satu platform untuk tujuan itu.
Pameran dari 11 pagi hingga 10 malam, mengetengahkan bahagian gastronomi di Aras Atrium Menara 1 dan 2 Suntec City, dengan menampilkan pelbagai gerai makanan serta snek tempatan dari Sarawak.
Sementara itu, sebahagian lagi pameran di Pusat Konvensyen Atrium Suntec City mengetengahkan tekstil dan barangan keluaran Sarawak.
Menurut laporan Borneo Post Online, Tan Sri Abang Johari turut menegaskan pemerkasaan wanita yang membentuk hampir 50 peratus daripada kira-kira tiga juta penduduk Sarawak, penting bagi menangani cabaran sosioekonomi yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, Pameran Mega Sarawak tersebut turut menampilkan pelbagai vendor yang menjual barangan kraf tangan, dengan hasil jualannya akan disalurkan kepada wanita yang menghasilkan produk berkenaan.
Inisiatif sebegini memperlihatkan keprihatinan terhadap pembangunan komuniti.
Menurut laman web rasmi The Penan Women Project (PWP) pula, mereka menjual beg tenunan tangan yang diperbuat daripada bahan lestari “Polypropylene - P5”, yang menjadikan beg tersebut tahan lama, boleh dicuci, boleh diguna semula, berwarna-warni dan boleh dikitar semula.
Projek yang dipanggil ‘The Weaving Project’ itu bertujuan memperkasa wanita kaum Penan (suku kaum pribumi terbesar di Borneo) dan keluarga mereka, dengan semua hasil jualan diserahkan kepada wanita serta keluarga yang terlibat dalam penghasilannya.
Peralihan kaum Penan ke arah gaya hidup moden tidak mudah kerana selain perlu mempelajari kemahiran baru untuk menyara hidup, menghantar anak ke sekolah juga memerlukan perbelanjaan.
Inisiatif seperti PWP membantu usaha ini, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja bagi produk yang bukan sahaja mesra alam, tetapi juga menyokong tujuan sosial yang bermakna.
Tan Sri Abang Johari juga berpeluang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Health Management International Pte Ltd (HMI) dengan Ibraco Berhad, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan HALTEX Group (Global Halal Alliance) dan Page8, Mustafa’s Pte Ltd dan HALTEXPRIUS Pte Ltd (Member Of Global Halal Aliance), Borneo Eco Fish Sdn Bhd dan Sheng Siong Supermarket Pte Ltd., Sarawak Skills (Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak) dan Temasak Polytechnic, SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) dan WiredBoxGroup (WBG) serta Zecon Bhd, Neuto Pte Ltd dan Edra Power Holding Sdn.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg