Pengunjung berpeluang menikmati keunikan budaya dan makanan Sarawak di Pameran Mega Sarawak, acara pertama dan terbesar seumpamanya di Singapura yang berlangsung selama empat hari.
Acara anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (Statos) itu berlangsung dari 16 hingga 19 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Atrium (Menara 1 dan 2), Suntec City, dari 11 pagi hingga 10 malam, dengan penyertaan lebih 50 pempamer.
Selain sajian tempatan, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai tawaran menarik seperti promosi pelancongan eksklusif, persembahan kebudayaan dan demonstrasi kraf tradisional.
Antara hidangan istimewa yang bakal membuka selera ialah Laksa Sarawak dan Mi Kolo yang terkenal, di samping pelbagai makanan kaum pribumi Sarawak yang jarang ditemui di Singapura seperti Ikan Umai (sashimi yang disediakan dengan gaya etnik), Mi Kampua, Kompia dan banyak lagi.
Mi Kampua merupakan hidangan mi kering tradisional dari Sibu, Sarawak, yang diperbuat daripada mi telur gandum yang dilambung dalam sos minyak, bawang merah dan kicap.
Kompia pula sejenis roti yang berasal dari Fuzhou, China, dan berisi sardin, kastard ataupun aiskrim.
Sebagai cenderahati, pengunjung akan menerima sebuah kotak rahsia yang tidak diketahui isinya, atau dipanggil ‘blindbox’, yang mengandungi rantai kunci boneka ‘plushie’.
Ia terdapat dalam lima rekaan istimewa yang menampilkan simbol ikonik Sarawak, antaranya ialah Hornbill Hawker, Tuak Sarawak, Kek Lapis, Mi Kolo dan Ulat Sagu, selagi stok masih ada.
Tumpuan utama pameran ialah Karnival dan Gastronomi Sarawak yang berlangsung di Atrium Suntec City (Menara 1 dan 2), di mana pengunjung boleh menerokai sektor ekopelancongan, tradisi budaya dan pengalaman kulinari asli Sarawak.
Antara vendor makanan dan minuman yang akan berada di acara itu ialah KANTIN, restoran pertama yang mengetengahkan masakan Borneo di Singapura dan calon ‘Restoran Baru Terbaik Asia 2025’, yang akan menghidangkan sajian berinspirasikan tradisi kulinari Sarawak seperti Ayam Gula Apong dan Ikan Umai.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan Sarawak seperti Laksa Sarawak dan Mi Kolo.
Antara jenama lain yang mengambil bahagian dalam acara ini termasuk “Leaves Food Industries” yang terkenal dengan Teh Susu Tiga Lapis Sarawak; dan “Balau Agrotech” yang membawa beras, lada hitam dan snek tradisional dari Sri Aman.
Sesi merasa makanan juga disediakan.
Selain makanan dan minuman, pengunjung boleh meneroka hasil kraf tangan dan produk gaya hidup daripada jenama seperti “Tanoti”, sebuah perusahaan sosial yang memelihara seni tenunan songket sambil memperkasa wanita dan komuniti luar bandar.
Antara reruai lain yang menarik termasuk “Projek Wanita Penan”, sebuah inisiatif yang memperkasa wanita pribumi Penan melalui penghasilan beg dan aksesori anyaman tangan yang lestari; “Batik Linut” yang mempamerkan batik inovatif dan mesra alam yang diperbuat daripada tepung sagu; dan “Ran & Nong Creations” yang menawarkan aksesori manik buatan tangan yang halus.
Reruai “Pure Days Toy Store” pula menyediakan permainan pendidikan kayu untuk kanak-kanak, manakala reruai “Deservebarn” memperkenalkan jenama kecantikan kelahiran Sarawak yang menghasilkan balsem bibir dan minyak wangi buatan tangan daripada bahan tempatan, tanpa melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg