Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot, memulakan operasi pesawat terbarunya, Embraer E190-E2, dengan penerbangan ke Krabi dan Hat Yai, kedua-duanya di Thailand, pada 7 Mei.
E190-E2 sebahagian daripada kumpulan pesawat serantau terbaru Embraer, dan Scoot merancang mendapatkan sembilan pesawat itu menjelang akhir 2025, lapor The Straits Times.
“Kapasiti penumpang yang lebih kecil menjadikan ia sesuai untuk membuka laluan baru ke negara lebih kecil tetapi sedang berkembang di rantau ini, serta menambah jumlah penerbangan pada laluan sedia ada.
“Ini akan meningkatkan hubungan rangkaian hab udara Singapura di Asia Tenggara,” kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada majlis pelancaran di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.
Beliau menambah bahawa pesawat baru itu merupakan “pencapaian penting” dalam perkembangan berterusan Lapangan Terbang Changi, kerana ia memperluaskan rangkaian penerbangan komersial Singapura di Asia Tenggara.
Ini membolehkan ia memenuhi permintaan yang berkembang dengan pesat.
Scoot, anak syarikat syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), adalah syarikat pertama yang mengendalikan pesawat siri Embraer E2 di Asia Tenggara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg