Syarikat luar pesisir dan marin (O&M) Seatrium menyatakan pada 28 Mei bahawa ia memperoleh tempahan bernilai $11.4 bilion sejauh ini bagi 2024, dirangsang oleh kontrak yang diperoleh daripada Petrobras dan Shell serta pelanggan lain.
Kontrak tersebut termasuk tempahan bagi kapal Penyimpanan dan Pemunggahan Pengeluaran Terapung (FPSO) daripada syarikat minyak negara Brazil, Petrobras, dan unit pengeluaran terapung Sparta bagi syarikat Shell yang diumumkan baru-baru ini.
Demikian menurut Seatrium dalam satu kemas kini perniagaan suku pertamanya.
Seatrium turut memenangi kontrak daripada syarikat Modec dan SBM Offshore, lapor The Straits Times (ST).
Tempahan bersih Seatrium sehingga kini bernilai $25.8 bilion, merangkumi 31 projek dengan jadual penghantaran sehingga 2030, tidak termasuk projek pembaikan dan naik taraf.
Bagi segmen pembaikan dan naik taraf, syarikat tersebut memperoleh beberapa kontrak utama bernilai $350 juta.
Ia juga meraih kontrak daripada Solvang ASA untuk memerangkap karbon dan mengubah suai penyimpanan, selain kontrak daripada TMS Cardiff Gas bagi pembaikan dan peningkatan 17 kapal gas asli cair (LNG).
Di samping itu, Seatrium juga memperbaharui perjanjian dengan GasLog LNG Services, dan Shell International Trading and Shipping Company untuk membaiki, membaik pulih dan menaik taraf 43 kapal LNG.
Pada suku pertama 2024, syarikat tersebut menyelesaikan 67 projek pembaikan dan naik taraf, serta menyelesaikan kapal bunker LNG membran pertama di Singapura.
Ia juga memperoleh kemudahan pinjaman pusingan hijau sebanyak $400 juta untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dalam sektor luar pesisir boleh diperbaharui.
Seatrium turut mengumumkan ia telah membayar AS$68 juta ($92 juta) bagi faedah yang perlu dilunaskan, dan menyelesaikan semua isu yang timbul daripada kes timbang taranya yang dimulakan syarikat MHWirth pada Disember 2021 terhadap sebuah anak syarikat milik penuh Seatrium.
Pada April, media melaporkan bahawa satu unit Seatrium telah diarah membayar AS$108 juta kepada MHWirth, anak syarikat milik penuh penyedia perkhidmatan penggerudian di Amerika, HMH.
Keputusan itu dibuat satu tribunal yang beroperasi di bawah peraturan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC).
Jumlah tersebut merangkumi bayaran penamatan vendor sebanyak AS$101 juta dan AS$7 juta bagi bayaran prosiding sampingan, perundangan dan timbang tara.
Prosiding timbang tara tersebut berkisar kepada empat kontrak berasingan bagi pembekalan peralatan.
MHWirth menegaskan bahawa syarikat Jurong Shipyard telah melanggar kontrak tersebut. Jurong Shipyard ialah anak syarikat milik penuh Seatrium.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg