Sekitar 22,000 penjawat awam terima kenaikan gaji 2-9% mulai Ogos

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 22,000 penjawat awam terima kenaikan gaji 2-9% mulai Ogos

Pastikan gaji selaras dengan piawaian pasaran, kekalkan bakat dalam perkhidmatan awam
Feb 20, 2026 | 6:27 PM

Sekitar 22,000 penjawat awam terima kenaikan gaji 2-9% mulai Ogos

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penjawat awam, kenaikan gaji penjawat awam Singapura, PSD Singapore, gaji sektor awam 2026, AUPE, Sanjeev Tiwari, skim pengurusan eksekutif, perkhidmatan awam kompetitif
Kadar gaji di pasaran telah meningkat sejak kenaikan gaji terakhir antara 5 dengan 14 peratus pada 2022. - Foto fail

Sekitar 22,000 penjawat awam yang memegang peranan merangkumi dasar dan perancangan hingga operasi, akan menerima kenaikan gaji antara 2 dengan 9 peratus mulai 1 Ogos.

Penyesuaian itu bertujuan memastikan kadar gaji selaras dengan piawaian pasaran dan perkhidmatan awam dapat terus menarik dan mengekalkan bakat, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 20 Februari.

Perubahan itu yang merupakan sebahagian daripada langkah semakan berkala, akan melibatkan pegawai yang layak merangkumi beberapa skim. 

Menurut PSD, kadar gaji di pasaran telah meningkat sejak kenaikan gaji terakhir antara 5 dengan 14 peratus pada 2022.

Pegawai yang layak di bawah skim pengurusan eksekutif akan menerima kenaikan gaji antara 2 hingga 9 peratus, dengan kenaikan lebih tinggi bagi gred yang mempunyai jurang gaji lebih besar, berbanding penanda aras pasaran, ujar PSD.

Tiada kenaikan gaji akan diberikan kepada pegawai yang gajinya sudah setara dengan pasaran, tambah kenyataan itu.

Pegawai yang layak di bawah skim sokongan teknikal akan menerima kenaikan gaji antara 4 dengan 9 peratus.

Manakala, pegawai yang layak di bawah skim sokongan pengurusan dan skim sokongan korporat akan menerima kenaikan gaji antara 4 dengan 5 peratus.

Pegawai yang layak di bawah skim sokongan operasi pula akan menerima kenaikan gaji antara 4 hingga 8 peratus.

Menurut PSD, perubahan itu dibuat selepas perbincangan mendalam dengan Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), kesatuan sektor awam terbesar di Singapura dengan 23,000 anggota.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 20 Februari, Setiausaha Agung AUPE, Encik Sanjeev Tiwari, berkata kesatuan itu menyambut baik langkah penyesuaian gaji tersebut.

“Dengan penyesuaian terakhir pada 2022, kenaikan ini tepat pada masanya supaya ia selaras dengan perubahan pasaran,” kata beliau.

Encik Tiwari, yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP), berkata penyesuaian gaji itu akan membantu meningkatkan gaji penjawat awam berpendapatan rendah hingga sederhana, merentasi pelbagai skim perkhidmatan.

Ia juga merupakan langkah penting bagi “memastikan pegawai menerima imbuhan berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang pantas berubah”.

Menurutnya AUPE akan terus bekerjasama rapat dengan PSD dan agensi pemerintah berkaitan bagi memperjuangkan gaji, kebajikan dan prospek kerja lebih baik untuk anggotanya.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan mengekalkan keselarasan dengan perkembangan pasaran, malah mengiktiraf peningkatan tuntutan kerja yang dipikul para pegawai awam di Singapura, tambah Encik Tiwari.

“Kerja yang dilakukan para pegawai awam kita kini semakin rumit dan mereka perlu melakukan lebih banyak tugasan dalam pasukan lebih kecil.

“Penyesuaian ini penting bagi mencerminkan realiti tersebut, memastikan imbuhan penjawat awam kekal kompetitif dan mengekalkan perkhidmatan awam sebagai tempat bakat dihargai serta dipupuk untuk menyediakan perkhidmatan awam yang bermutu,” kata beliau.

Perkhidmatan awam kini menggaji sekitar 154,000 pegawai merentasi pelbagai kementerian, lembaga berkanun dan badan negara.

PSD menambah, perkhidmatan awam melakukan semakan gaji secara berkala dan menyesuaikannya jika perlu, bagi “memastikan gaji secara umumnya selaras dengan pasaran, tetapi tidak melebihi kadar pasaran”.

Di samping itu, PSD berkata perkhidmatan awam akan terus memperkukuh ganjaran berdasarkan prestasi serta meningkatkan usaha untuk menyediakan peluang kerjaya dan pembangunan bermakna bagi pegawai perkhidmatan awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg