Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan Snef: Lebih banyak majikan beku pengambilan pekerja, kenaikan gaji disederhanakan

Dec 2, 2025 | 7:24 PM
ekonomi, Tinjauan Snef, majikan, pekerja, kenaikan gaji disederhanakan
Hampir tiga daripada lima majikan, atau 58 peratus, merancang untuk ‘membekukan’ bilangan pekerja pada 2026, berbanding 50 peratus majikan dalam tinjauan 2024. - Foto fail

Terdapat peningkatan dalam peratusan majikan yang melaporkan prospek perniagaan tidak menentu pada 2025.

Mereka turut merancang untuk membekukan pengambilan pekerja serta menyederhanakan kadar kenaikan gaji pada 2026, menurut satu tinjauan oleh Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pada 2 Disember.

Snef mendapati 72 peratus responden dalam tinjauan 2025 menjangkakan prospek perniagaan yang tidak menentu, meningkat daripada 58 peratus pada 2024.

Selain itu, hampir tiga daripada lima majikan, atau 58 peratus, merancang untuk ‘membekukan’ bilangan pekerja pada 2026, berbanding 50 peratus dalam tinjauan 2024, lapor The Business Times (BT).

Majikan kecil – yang menggaji 50 pekerja atau kurang – lebih cenderung berbuat demikian dengan 63 peratus merancang untuk membekukan pengambilan pekerja, menurut tinjauan tersebut.

Namun, peratusan responden dalam tinjauan 2025 yang merancang untuk mengurangkan bilangan pekerja (8 peratus) adalah hampir sama dengan tinjauan 2024 (9 peratus), dengan majikan lebih besar – yang menggajikan lebih 200 pekerja – lebih cenderung melakukan pemotongan tenaga kerja (12 peratus).

Manakala, sekitar sepertiga responden merancang untuk menambah pengambilan pekerja.

Bagi prospek gaji, 48 peratus majikan yang ditinjau berkata mereka merancang untuk menyederhanakan kenaikan gaji atau membekukan gaji pada tahun kewangan 2026, berbanding 38 peratus pada tahun kewangan 2025.

Majikan turut memaparkan rancangan memberi kadar kenaikan gaji lebih rendah berbanding 2024.

“Ini menunjukkan majikan lebih berhati-hati dalam prospek kenaikan gaji, terutamanya dalam kalangan majikan kecil dan sederhana,” kata Snef. 

Majikan sederhana merujuk kepada syarikat yang mempunyai antara 51 dengan 200 kakitangan.

Bilangan majikan yang menyatakan kos meningkat sebagai cabaran utama tenaga kerja bagi 12 bulan akan datang adalah 79 peratus, hampir sama dengan 81 peratus pada 2024.

Cabaran lain yang disebut termasuk menarik dan mengekalkan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) (47 peratus) serta kekurangan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi (42 peratus).

Daripada majikan yang ditinjau, 62 peratus merancang untuk menawarkan pakej gaji dan faedah pekerja berdaya saing bagi mengurangkan cabaran ini – menurun daripada 70 peratus pada 2024.

Cara lain dalam menangani cabaran tenaga kerja yang dinyatakan termasuk meningkatkan kemahiran atau melatih semula pekerja bagi memenuhi keperluan perniagaan yang berkembang (45 peratus) serta menyediakan lebih banyak pilihan waktu kerja fleksibel (30 peratus).

Meskipun dengan prospek lebih berhati-hati, sebilangan besar majikan yang menggajikan pekerja berpendapatan rendah (96 peratus) merancang untuk memberikan kenaikan gaji terbina pada 2026.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan majikan untuk meningkatkan kadar gaji kumpulan pekerja ini,” kata Snef.

Tinjauan prospek tenaga kerja dan gaji Snef edisi 2025 ini dijalankan antara 25 Jun dengan 15 Ogos.

Tinjauan itu mengumpulkan maklum balas daripada 238 majikan dengan keseluruhan lebih 120,000 pekerja, dan para responden mewakili 19 sektor industri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg