Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekitar dua pertiga pemegang SDS Singtel pilih kekalkan saham
Sekitar dua pertiga pemegang SDS Singtel pilih kekalkan saham
Warga Singapura yang membeli Saham Diskaun Khas (SDS) Singtel dan menyimpannya dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka kini boleh menguruskan saham tersebut secara terus melalui akaun Depositori Pusat (CDP) masing-masing.
Singtel dan Lembaga CPF mengumumkan pada 23 November bahawa mereka telah menyelesaikan pemindahan SDS pada 21 November, sekali gus menamatkan peranan Lembaga CPF sebagai pemegang amanah saham berkenaan.
Sekitar 209,000 pemegang SDS, atau 34 peratus, telah menjual SDS Singtel mereka sebelum pemindahan itu dilaksanakan.
Jumlah ini merangkumi kira-kira 232 juta SDS, atau 32.6 peratus daripada keseluruhan SDS yang diterbitkan.
Baki SDS, berjumlah 477 juta yang dimiliki oleh kira-kira 406,000 pemegang, telah dipindahkan ke akaun CDP mereka.
Singtel menambah bahawa purata jumlah harian SDS yang dijual sepanjang tempoh lapan bulan dari April hingga November mewakili kurang 5 peratus daripada purata jumlah dagangan harian.
Sekitar dua pertiga pemegang SDS yang mengekalkan saham mereka sudah mempunyai akaun CDP individu.
Manakala bagi baki satu pertiga lagi pemegang SDS, saham mereka dipindahkan secara automatik ke akaun CDP khusus yang dibuka atas nama mereka.
Pemegang SDS yang turut memiliki saham biasa Singtel akan mempunyai kedua-dua set saham itu disatukan dalam akaun CDP yang sama bagi memudahkan pengurusan, menurut syarikat telekomunikasi tersebut.
Skim SDS diperkenalkan pada 1993 sebagai sebahagian usaha pemerintah untuk memberi warga Singapura kepentingan dalam kejayaan ekonomi negara menerusi pemilikan saham.
Singtel merupakan syarikat pertama dan satu-satunya yang menawarkan saham SDS apabila ia beralih daripada sebuah badan berkanun kepada syarikat tersenarai pada tahun tersebut.
Lembaga CPF dilantik sebagai pemegang amanah bagi memudahkan proses pembelian saham itu, memandangkan pemilikan saham pada ketika itu masih merupakan sesuatu yang asing dalam kalangan ramai warga Singapura.
Dengan urus niaga pasaran saham yang kini semakin meluas, skim SDS telah mencapai matlamatnya dan aturan pemegang amanah bagi menyokong pemilikan saham tidak lagi diperlukan, kata CPF pada April apabila keputusan untuk menamatkan skim itu diumumkan.
Justeru, pemegang SDS dibenarkan menjual saham mereka bagi mendapatkan wang tunai atau menunggu saham tersebut dipindahkan.
Menurut data Singtel, pemegang median SDS Singtel memiliki 1,360 saham pada harga pembelian purata $2,000.
Pada harga pasaran sekitar $5 sesaham pada April lalu, saham tersebut bernilai kira-kira $6,800.
Parlimen kemudian meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) CPF pada Mei untuk merasmikan penamatan skim berkenaan.
Singtel dan Lembaga CPF menasihatkan pemegang SDS supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan dan mengesahkan pautan URL laman web SDS bagi memastikan ia adalah laman rasmi.
Wang CPF yang dikeluarkan oleh ahli, termasuk sebarang hasil jualan SDS yang dikembalikan ke Akaun Biasa (OA) mereka, akan dikreditkan ke akaun bank mereka yang berdaftar dengan Lembaga CPF.