Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hampir 7,000 jawatan kosong dalam sektor pelancongan pada suku kedua 2025

STB: Peluang kerja luas tanda daya tahan sektor pelancongan, disokong trend kerja kukuh
Oct 17, 2025 | 7:17 PM
sektor pelancongan, marina bay sands, singapura, jawatan kosong
Sehingga kini, hampir 700 jawatan ditawarkan oleh lebih 20 syarikat – termasuk hotel, penganjur acara, daya tarikan serta agensi pelancongan di pameran kerjaya yang diadakan di Marina Bay Sands pada 17 Oktober. - Foto fail

Sektor pelancongan kini giat mengambil pekerja, dengan lebih 5,000 iklan kerja menawarkan sekitar 6,700 jawatan kosong di portal kerja ‘MyCareersFuture’ Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) bagi suku kedua 2025.

Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 17 Oktober.

Menurut STB, sehingga kini, hampir 700 jawatan ditawarkan oleh lebih 20 syarikat, termasuk hotel, penganjur acara, daya tarikan serta agensi pelancongan di satu pameran kerjaya yang diadakan pada 17 Oktober.

Pameran itu berlangsung di Marina Bay Sands semasa Persidangan Layanan Tamu dan Pelancongan Singapura dianjurkan buat kali pertama.

Jawatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang, seperti pengurusan data dan penganalisis kecerdasan perniagaan.

Persidangan sehari itu, yang diadakan bersama pameran perdagangan pelancongan ITB Asia, bertujuan “memberi inspirasi kepada pelajar dan lulusan institusi pengajian tinggi agar meneroka laluan kerjaya yang mendatangkan kepuasan dalam sektor pelancongan”.

Agensi itu menambah rentak pengambilan pekerja, yang dijangka berterusan apabila hotel baru seperti Hotel Waterloo Singapore dan Varel Singapore, dijadual dibuka menjelang akhir 2026.

Pembukaan hotel baru itu menambah lebih 1,500 bilik kepada jumlah bilik hotel sedia ada.

“Sektor ini giat mengambil pekerja. Peluang pekerjaan luas ini mencerminkan daya tahan sektor pelancongan, disokong oleh trend pekerjaan yang kukuh,” jelas STB.

Menurut agensi itu, setakat Jun 2025, jumlah keseluruhan tenaga kerja sektor pelancongan Singapura mencecah 75,000 orang, meningkat lebih 8 peratus berbanding 69,000 orang pada Jun 2024.

Apabila ditanya The Business Times (BT) sebab sektor ini mempunyai jumlah jawatan kosong yang besar, Pengarah Eksekutif STB bagi bakat layanan tamu dan pelancongan, Cik Rachel Loh, menyatakan dua faktor utama memungkinkannya, iaitu permintaan yang meningkat dan persaingan untuk mendapatkan bakat.

Bagi salah satu faktor, iaitu permintaan yang meningkat, beliau berkata selain pembukaan hotel baru, STB menyasarkan untuk meningkatkan hasil daripada mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) sebanyak tiga kali ganda menjelang 2040.

Ini dapat menyumbang sekitar 10 peratus daripada hasil pelancongan, naik daripada sekitar $1.4 bilion, atau 4 peratus daripada hasil pelancongan pada 2019.

“Kita sedang melihat pertumbuhan dan momentum yang baik… jadi wujud keperluan untuk lebih banyak jawatan,” katanya.

Merujuk kepada hala tuju Singapura bagi dekad akan datang dalam pertumbuhan pelancongan, Cik Loh berkata selari dengan pelaksanaan strategi Pelancongan 2040 negara, sektor itu perlu diperkukuh agar bersedia menghadapi masa depan. 

Ini boleh dicapai melalui transformasi perniagaan, peningkatan kemahiran dan mewujudkan pekerjaan yang baik.

“Ini bermaksud bakal karyawan pelancongan perlu memiliki set kemahiran yang berkembang, termasuk kecelikan digital dan kecerdasan buatan (AI) serta kepakaran dalam kemampanan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan ini, STB bekerjasama dengan NTUC LearningHub untuk melatih pekerja dalam bidang kemampanan, teknologi dan perkhidmatan cemerlang.

STB juga telah melancarkan Program Kecemerlangan dan Kemajuan Kepimpinan Pelancongan bagi pengurus pertengahan yang berpotensi tinggi dan menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan untuk menyesuaikan latihan dengan keperluan industri.

Menurut Pengarah Sekolah Layanan Tamu di Politeknik Republic (RP), Encik Fu Chuan Chong, institusi pengajian tinggi turut mengemas kini program layanan tamu dan pelancongan mereka untuk memenuhi keperluan industri.

Ini termasuk pembelajaran bersepadu dengan kerja, projek perusahaan dan kursus pendidikan berterusan bagi membekalkan pelajar dan pekerja dengan kemahiran relevan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg