SYDNEY: Sembcorp mengesahkan syarikat itu sedang berbincang mengenai kemungkinan pengambilalihan syarikat utiliti Australia, Alinta Energy.
Dalam kenyataan pada 8 Disember, Sembcorp berkata ia sedang menilai peluang pengambilalihan syarikat termasuk Alinta, susulan laporan oleh Australian Financial Review (AFR) dan The Australian.
Syarikat itu menegaskan, rundingan masih berjalan dan belum ada persetujuan muktamad dicapai.
Jika diteruskan, pengambilalihan tersebut perlu mendapat kelulusan Lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia.
Berita rundingan itu memberi kesan segera kepada pasaran, dengan saham Sembcorp jatuh 1.8 peratus kepada $5.88 pada 11.02 pagi, 8 Disember.
Alinta Energy dimiliki Chow Tai Fook Enterprises, milik bilionair Hong Kong, Encik Henry Cheng.
Syarikat itu telah mempertimbangkan menjual Alinta bagi sebahagian besar 2025 dan melantik penasihat pada Januari 2026.
Encik Cheng dilapor merancang untuk menjual beberapa aset, termasuk hartanah dalam rangkaian hotel mewah, Rosewood Hotel Group, untuk menangani masalah cabaran kecairan dalam syarikat hartanahnya, New World Development.
Chow Tai Fook membeli Alinta Energy, yang mempunyai lebih sejuta pelanggan di Australia dan New Zealand, pada harga kira-kira A$4 bilion ($3.4 bilion) pada 2017.
Pada 2023, syarikat itu menjual aset Alinta di Pilbara, di barat Australia, kepada APA Group pada harga A$1.7 bilion termasuk hutang.
Di pihak lain, Sembcorp sedang giat mengembangkan jejaknya di Asia-Pasifik.
Pada Oktober, ia membeli aset suria ReNew Energy di India, dan turut dilaporkan berminat mengambil pegangan minoriti dalam perniagaan jana kuasa gas syarikat Thailand, B.Grimm Power.
Menurut AFR, Sembcorp mendapat nasihat Goldman Sachs dan DBS Group, manakala Chow Tai Fook dibimbing RBC Capital Markets dan UBS Group.
Aset terbesar Alinta ialah loji jana kuasa arang perang Loy Yang B di Victoria, yang membekalkan kira-kira 20 peratus tenaga elektrik negeri itu.
Dalam perkembangan berasingan, Reuters, melaporkan pada 8 Disember, Sembcorp telah memulakan Tawaran Awam Awal (IPO) untuk penyenaraian unitnya di India, Sembcorp Green Infra, di Bursa Mumbai.
Unit itu mengendalikan tenaga angin, suria serta penyimpanan tenaga, menjadikannya pesaing utama kepada Adani Green Energy dan Avaada Group.
IPO itu dijangka dilancarkan dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan dengan Citi, HSBC dan Axis Capital bertindak sebagai penasihat.
Penyata kewangan menunjukkan unit India Sembcorp mencatat keuntungan AS$40 juta (sekitar $52.9 juta) bagi tahun berakhir 31 Mac 2024, dengan hasil AS$252 juta. – Reuters, Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg