Saham Sembcorp Industries meningkat secara mendadak pada 18 Mac berikutan khabar bahawa syarikat itu sedang menjalankan semakan semula secara strategik bagi perniagaannya.
Pelbagai kemungkinan juga sedang dipertimbangkan, termasuk potensi menswastakannya atau menjual beberapa asetnya.
Syarikat Singapura itu, yang disokong oleh Temasek milik pemerintah, sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan untuk semakan semula itu, menurut mereka yang tahu tentang perkara itu.
Pertimbangan masih di peringkat awal dan Sembcorp mungkin juga memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang perjanjian, tambah mereka.
Saham Sembcorp melonjak apabila dagangan bermula pada 18 Mac dan naik 4.1 peratus, atau 25 sen, kepada $6.35 pada 9.09 pagi.
Keuntungan saham itu kemudian berkurang untuk didagangkan naik 2 peratus pada $6.22 pada 11.19 pagi.
Jurucakap Sembcorp berkata syarikat itu sentiasa menilai pilihan yang ada untuk meningkatkan nilai pemegang saham, termasuk pelaburan, penyusunan semula, penyenaraian dan pengurusan modal.
“Sebagai sebahagian daripada penilaian sedemikian, kami bekerjasama dengan perunding dari semasa ke semasa, apabila keperluan timbul,” kata jurucakap itu. “Pilihan yang dinilai itu tidak semestinya membawa kepada sebarang bentuk urus niaga.”
“Kami akan membuat pengumuman yang diperlukan mengikut keperluan dalam Manual Penyenaraian SGX-ST apabila sesuatu inisiatif telah menjadi nyata dan telah berkembang ke tahap yang mana terdapat kepastian yang tinggi,” tambah jurucakap itu.
Perniagaan Sembcorp termasuk tenaga angin, suria dan hidro serta operasi penyimpanan tenaga di Asia Tenggara, China, India, Britain dan Timur Tengah.
Ia juga mempunyai loji jana kuasa gas dan diesel di kawasan geografi yang sama, penyelesaian bandar seperti pengurusan sisa dan air, dan khidmat penyahkarbonan korporat.
Penyusunan semula yang lalu termasuk pengasingan Sembcorp Marine yang dilanda Covid-19 pada 2020.
Ketua eksekutif Sembcorp Industries pada masa itu berkata langkah itu akan membantu firma tersebut memberi fokus pada sektor tenaga dan bandar.
Sembcorp Industries juga menyelesaikan penyahlaburan di Chile, China dan Panama pada 2020.
Pada 2024, ia mengumumkan penjualan Sembcorp Environment dengan harga $405 juta.
Saham Sembcorp telah meningkat lebih 250 peratus sejak akhir 2020, memberikan syarikat itu nilai pasaran $10.7 bilion.
Pendapatan bersihnya meningkat kira-kira 7 peratus pada 2024 kepada $1 bilion, manakala jualan susut 5.2 peratus kepada $3.21 bilion. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg