Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentimen niaga di S’pura kekal bercampur-campur bagi suku pertama 2025

Sentimen bagi sektor pembinaan, pengangkutan dan kewangan paling optimistik
Dec 16, 2024 | 7:04 PM
Menurut Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB), sentimen keseluruhan dalam sektor pengilangan “meningkat dengan ketara” dengan lima daripada enam penunjuk berada pada tahap positif bagi suku pertama 2025.
Menurut Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB), sentimen keseluruhan dalam sektor pengilangan “meningkat dengan ketara” dengan lima daripada enam penunjuk berada pada tahap positif bagi suku pertama 2025. - Foto ST

Perniagaan tempatan di Singapura mengekalkan sentimen optimis tetapi berhati-hati bagi suku pertama 2025, walaupun terdapat sedikit kenaikan dalam Indeks Optimisme Perniagaan (BOI) oleh Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB).

Berdasarkan data yang dikeluarkan pada 16 Disember, BOI naik untuk enam suku berturut-turut kepada +5.45 mata peratusan bagi suku pertama 2025, berbanding +5.06 mata peratusan pada suku keempat 2024 dan +4.48 mata peratusan bagi suku pertama 2024.

Empat daripada enam penunjuk BOI – jumlah jualan, keuntungan bersih, harga jualan dan pesanan baru – meningkat bagi suku pertama 2025 berbanding suku sebelumnya, manakala tiga penunjuk, iaitu jumlah jualan dan keuntungan bersih, serta tahap inventori, meningkat pada suku pertama 2025, berbanding suku pertama 2024.

Sentimen bagi sektor pembinaan, pengangkutan dan kewangan paling cerah dengan sekurang-kurangnya empat daripada enam penunjuk berada pada tahap positif, lapor The Business Times (BT).

Paling ketara, tahap inventori merosot dalam sektor pembinaan kepada sifar mata peratusan bagi suku pertama 2025 berbanding +7.69 mata peratusan bagi suku sebelumnya.

Penunjuk harga jualan juga menyederhana untuk kedua-dua sektor pengangkutan (+8.44 mata peratusan daripada +16.67 mata peratusan) dan sektor kewangan (sifar mata peratusan daripada +7.14 mata peratusan) berbanding suku sebelumnya.

SCCB menekankan bahawa sentimen keseluruhan dalam sektor pengilangan “meningkat dengan ketara” dengan lima daripada enam penunjuk berada pada tahap positif bagi suku pertama 2025, berbanding hanya dua penunjuk bagi suku sebelumnya.

Sebaliknya, sentimen sektor dagangan borong berkurang sedikit bagi suku pertama 2025, dengan dua daripada enam penunjuk berada pada tahap positif berbanding empat penunjuk pada suku sebelumnya.

Walaupun penunjuk harga jualan sektor itu meningkat dan tahap pekerjaan kekal positif, kededua jumlah jualan dan keuntungan bersih merosot kepada sifar mata peratusan bagi suku pertama 2025 berbanding +6.67 mata peratusan bagi bulan sebelumnya.

Sentimen bercampur-campur sedemikian berlaku di tengah-tengah perdagangan sedunia yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCCB, Cik Audrey Chia.

“Walaupun sentimen tempatan telah mencapai tahap tinggi baru dalam tempoh tiga tahun, ketegangan geopolitik telah meningkat sejak beberapa bulan lalu.

“Memandangkan risiko negatif ini, kami kekal optimis tetapi berhati-hati untuk tahun baru ini,” tambahnya.

Disiapkan setiap suku tahun, BOI menggunakan enam kayu ukur perniagaan – jumlah jualan, keuntungan bersih, harga jualan, pesanan baru, inventori dan pengambilan pekerja – bagi menilai tahap keyakinan perniagaan.

Nilai BOI yang positif bererti tahap optimis melebihi tahap pesimis dalam kalangan peniaga untuk suku berkenaan.

Nilai BOI yang negatif pula bererti tahap pesimis dalam perniagaan lebih dominan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg