Sentimen perniagaan tempatan bertambah baik untuk suku kelima berturut-turut, mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, pada suku keempat 2024.
Data yang dikeluarkan oleh Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB) pada 9 September menunjukkan Indeks Optimisme Perniagaan (BOI) meningkat sedikit kepada 5.06 mata peratusan bagi suku keempat, daripada 4.94 mata peratusan bagi suku ketiga.
Tahun ke tahun, indeks bagi suku itu juga lebih tinggi daripada 4.35 mata peratusan yang dicatatkan pada suku keempat 2023.
Sama seperti suku sebelumnya, penunjuk volum jualan, untung bersih, harga jualan, pesanan baru dan tahap pekerjaan kekal berkembang.
Sementara itu, tahap inventori melantun semula kepada 0 mata peratusan pada suku keempat 2024 daripada -1.48 mata peratusan pada suku sebelumnya.
Tiga daripada enam penunjuk bertambah baik pada asas suku tahun ke suku tahun, iaitu volum jualan, untung bersih dan paras inventori, manakala harga jualan dan pesanan baru pula sederhana, lapor The Business Times (BT).
Tahap pekerjaan jatuh kepada 5.93 mata peratusan pada suku keempat, daripada 6.67 mata peratusan pada suku sebelumnya.
Tahun ke tahun, kededua volum jualan dan keuntungan bersih meningkat kepada 7.41 mata peratusan pada suku keempat 2024, masing-masing daripada 3.73 mata peratusan dan 2.24 mata peratusan.
Tahap inventori untuk suku keempat 2024 berada pada 0 mata peratusan, pulih daripada -2.24 mata peratusan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Pesanan baru menyederhana kepada 2.96 mata peratusan pada suku terakhir, turun daripada 11.19 mata peratusan pada suku keempat 2023.
Harga jualan jatuh kepada 6.67 mata peratusan pada suku keempat 2024 daripada 11.19 mata peratusan pada tahun sebelumnya, manakala tahap pekerjaan merosot kepada 5.93 mata peratusan pada suku terakhir daripada 7.46 mata peratusan pada tahun sebelumnya.
Biro itu menyatakan bahawa sektor kewangan, pembinaan dan pengangkutan adalah yang paling optimistik, dengan sekurang-kurangnya lima daripada enam petunjuk berada di kedudukan positif.
Sektor perkilangan hanya mempunyai dua daripada enam petunjuk dalam kedudukan positif walaupun sentimen bertambah baik sedikit.
Kededua volum jualan dan keuntungan bersih melantun semula daripada zon penguncupan kepada 0 mata peratusan pada suku keempat 2024, daripada -3.85 mata peratusan pada suku ketiga 2024.
Tinjauan bagi kededua sektor borong dan perkhidmatan kekal positif, dengan tiga daripada enam petunjuk positif.
Ketua pegawai eksekutif SCCB, Cik Audrey Chia, menjangkakan suku yang lebih cerah untuk firma tempatan.
Beliau menambah bahawa prospek yang agak optimis oleh firma tempatan sebahagian besarnya disebabkan oleh prospek pertumbuhan yang kukuh dalam sektor kewangan, pembinaan dan pengangkutan.
“Walaupun mengalami sedikit penguncupan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sektor perkilangan juga menunjukkan tanda-tanda kemungkinan pemulihan pada suku akhir 2024,” katanya.
“Bagaimanapun, kami akan tetap berhati-hati terhadap risiko geopolitik dan ekonomi yang merosot secara global.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg