Agensi Makanan Singapura (SFA) merancang untuk menambah baik prasarana ternakan ikan di perairan selatan Singapura, sambil menyatakan bahawa satu-satunya syarikat pengeluar ikan tempatan yang beroperasi di sana, Barramundi Group, dijangka menghentikan operasinya.
Sebelum syarikat baru mengambil alih tapak ternakan ikan di Pulau Senang dan Pulau Semakau itu, SFA akan meneroka kemungkinan untuk membolehkan beberapa peternakan ikan berkongsi kemudahan di sana.
Barramundi Group, yang menternak ikan siakap Asia, mempunyai sangkar di laut terbuka berhampiran Pulau Senang dan Pulau Semakau, selain ruang penetasan dan kawasan semaian ikan di tanah Semakau, lapor The Straits Times (ST).
Ketua strategi dan operasi Barramundi Group, Encik Tan Ying Quan, berkata kerja menternak ikan di perairan selatan mempunyai kos operasi lebih tinggi disebabkan prasarana yang tidak mencukupi.
Ini menjadikan perniagaan tersebut sukar bersaing dari segi kos dan meraih keuntungan jangka panjang.
Itulah sebabnya syarikat itu berhenti menternak ikan di kawasan itu, dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada operasinya di Brunei, kata Encik Tan.
“Mengangkut barangan, seperti makanan dan peralatan ikan, amat mencabar tanpa jeti khusus yang boleh digunakan oleh penternak ikan.
“Kami terpaksa menyewa kren setiap kali perlu memindahkan barangan besar dari tanah besar Singapura ke pulau ini dan sebaliknya.
“Kami juga membayar yuran tinggi untuk berlabuh di kelab kapal layar untuk mendapatkan tempat letak bagi bot pengangkutan kakitangan kami,” ujar beliau.
Di samping itu, ruang penetasan dan kawasan semaian di Semakau, yang boleh menghasilkan dua juta ikan peringkat awal perkembangan yang meliputi telur, larva dan anak ikan setiap tahun tidak dilengkapi bekalan elektrik daripada grid elektrik, atau bekalan air tawar.
Disebabkan itu, syarikatnya perlu mengangkut diesel dan air tawar setiap minggu untuk mengekalkan operasi niaga, menyebabkan kos yang jauh lebih tinggi – sejak ia mengambil alih tapak tersebut pada 2012.
Pada 2021 semasa pandemik Covid-19, syarikatnya menghentikan operasi perniagaan di kemudahan Semakau untuk mengurangkan kos.
Sebaliknya, ia bergantung pada ruang penetasan dan kawasan semaian lebih kecil di Pulau St John’s – tempat ia kini menjalankan kerja penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk menternak anak ikan.
Baru-baru ini, SFA memberi tender kepada syarikat konsultan, DHI Water and Environment yang berpangkalan di Singapura, untuk mengkaji kesan perniagaan ternakan ikan di lautan pulau Semakau dan Pulau Senang, terhadap alam sekitar.
Apabila kajian tersebut selesai, SFA akan mengeluarkan semula tender bagi ruang di lautan itu untuk ternakan, dan menetapkan kadar pengeluaran ikan dan anak ikan yang dibenarkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg