Pemain ekuiti swasta yang telah membangunkan perniagaan menguntungkan dan kini bersedia meraih pulangan menarik sedang dipikat oleh Bursa Singapura (SGX).
Salah satu cara SGX mengenal pasti perniagaan yang mencatat prestasi memberangsangkan sedemikian adalah melalui laporan penyelidikan.
Terdapat sekitar 80 hingga 100 syarikat swasta sedemikian di rantau ini dalam sektor seperti pengguna, perusahaan dan teknologi, menurut ketua penyelidikan Kumpulan SGX, Encik Chan Kum Kong.
“Terdapat banyak wang dalam pasaran swasta yang telah dilaburkan oleh dana ekuiti swasta,” katanya kepada The Straits Times (ST).
Pemain ekuiti swasta ialah dana atau syarikat yang melabur dalam perniagaan swasta yang tidak tersenarai di bursa saham, dengan tujuan mengembangkan nilai syarikat berkenaan dan meraih pulangan menarik.
Dana ekuiti swasta biasanya dilaburkan dalam syarikat tersebut selama lima hingga enam tahun.
Apabila syarikat tersebut mula matang dalam tempoh empat hingga lima tahun berikutnya, iaitu menunjukkan tahap perkembangan perniagaan yang mantap dan mula menikmati keuntungan menarik, para pelabur dana tersebut akan meneroka pelbagai cara untuk meraih keuntungan, termasuk melalui Tawaran Awam Awal (IPO).
Pengendali khidmat tempahan pengangkutan dan penghantaran makanan, Grab, yang disenaraikan di Nasdaq, Amerika Syarikat pada 2 Disember 2021, adalah contoh terkini strategi syarikat memperoleh keuntungan, yang disokong dana ekuiti swasta.
Satu lagi contoh ialah pesaing Grab, GoTo, yang disenaraikan di Bursa Saham Indonesia pada 2022.
SGX menjangka lebih banyak penyenaraian sedemikian di bursa saham, dan sedang membuat persiapan bagi perkara tersebut.
Encik Chan berkata SGX mahu memulakan liputan penyelidikan terhadap syarikat dan sektor pasaran swasta supaya maklumat mengenai syarikat ini sudah tersedia apabila ia bersedia disenaraikan.
Pengurus bank yang mengendalikan usaha menyenaraikan syarikat di bursa Singapura perlu memahami syarikat ini dan sektor yang ia ceburi.
Pelabur juga perlu memahami perkara tersebut dan model perniagaan syarikat, tambahnya.
Pelabur dijangka akan mempunyai pelbagai soalan, seperti saiz pasaran syarikat, bahagian pasaran yang dimilikinya, dan sama ada syarikat berkenaan adalah peneraju pasaran atau pesaing.
Justeru, usaha Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperuntuk $50 juta sepanjang tiga tahun akan datang untuk mempertingkat skim Geran bagi Pasaran Ekuiti Singapura (Gems) adalah tepat pada masanya.
Gems menyediakan dana kepada syarikat yang berminat disenaraikan bagi menampung kos berkaitan penyenaraian.
Selain itu, ia juga memberi insentif kepada penganalisis untuk menghasilkan laporan penyelidikan mengenai syarikat dalam pasaran ekuiti Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg