Syarikat yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) telah memperbaiki sedikit amalan tadbir urus korporat dan ketelusan kewangan mereka, berdasarkan penilaian tahunan yang dibuat oleh badan industri, perakaunan, dan akademik.
Markah Indeks Tadbir Urus dan Ketelusan Singapura (SGTI) bagi 2025, yang dikeluarkan pada 13 Ogos, menunjukkan syarikat-syarikat dalam kategori umum menerima 70.9 mata daripada maksimum 143 mata.
Markah itu tinggi sedikit berbanding 69.3 mata yang dicatatkan pada 2024, lapor The Business Times (BT).
Bagi kategori dana amanah pelaburan hartanah (Reit) dan amanah perniagaan, markah purata adalah 90.2 mata, lebih tinggi berbanding 86.6 mata pada 2024.
Sementara itu, syarikat penyedia perkhidmatan dan katering, Sats, mengekalkan kedudukan teratas dalam senarai 2025, namun jumlah markah keseluruhannya iaitu 114.1 mata adalah lebih rendah berbanding 118 mata yang diperolehinya pada 2024.
Dalam kategori Reit dan amanah perniagaan, CapitaLand Ascott Trust sekali lagi mengekalkan kedudukan nombor satu dengan 108.6 mata, meningkat daripada 104 mata yang dicatatkan pada 2024.
Penilaian itu dijalankan bersama oleh CPA Australia, Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), dan Institut Pengarah Singapura. Akhbar BT merupakan rakan media strategik bagi kajian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg