Platform e-dagang, Shopee, sedang melaksanakan langkah membuang ratusan pekerjaan dalam peranan pembangun di peringkat sejagat.

Anak syarikat Sea berkenaan menyertai pesaing lain di serata dunia dalam mengurangkan pekerja sambil beralih kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja, serta membangunkan perkhidmatan baru berasaskan teknologi berkenaan.

Langkah pembuangan pekerjaan yang bermula pada minggu kedua Jun itu melibatkan sekitar 8 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja pembangun Shopee, menurut sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Pemberhentian itu menjejas peranan seperti jaminan mutu (QA) dan terdapat kemungkinan lebih banyak pemberhentian akan menyusul, tambah sumber berkenaan yang ingin nama mereka dirahsiakan.

Masih belum jelas sama ada langkah itu berkait secara langsung dengan penerokaan Sea ke dalam bidang AI.

Namun, tindakan itu berlaku serentak dengan perdebatan semakin hangat mengenai kesan teknologi tersebut terhadap pasaran pekerjaan di serata dunia, selain perbincangan berhubung isu ‘AI-washing’ menyusuli pemberhentian pekerja secara besar-besaran di syarikat teknologi lain seperti Block milik Jack Dorsey, serta Oracle.

‘AI washing’ ialah taktik pemasaran yang mana sesebuah syarikat memperbesar-besarkan atau membuat dakwaan palsu mengenai penggunaan AI dalam produk atau perkhidmatan mereka.

Banyak syarikat teknologi sebelum ini mengambil pekerja secara agresif ketika tempoh pandemik, sewaktu kegiatan dalam talian dan digital berkembang pesat sehingga firma-firma terpaksa bergelut untuk memenuhi permintaan.

Pada masa yang sama, kebimbangan semakin meningkat bahawa AI akan mengurangkan kebergantungan terhadap alat perisian tradisional, sekali gus menjejas perniagaan perkhidmatan IT korporat yang menguntungkan.

Walaupun penggunaan AI masih belum diterjemahkan kepada peningkatan daya penghasilan yang ketara, kebanyakan syarikat kini sedang mencari jalan untuk mengoptimumkan hasil dengan sumber terhad.

Sea, syarikat berpangkalan di Singapura yang juga pengendali platform permainan video Garena, sedang membuat peralihan struktur selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Encik Forrest Li, berkata permodalan pasaran mencecah AS$1 trilion ($1.29 trilion) mampu dicapai sekiranya syarikat itu melipatgandakan usaha dalam bidang AI.

Langkah tersebut menyaksikan Sea menyertai senarai syarikat yang kian meningkat – termasuk pesaingnya, Alibaba Group – yang melabur dalam AI bagi memacu pertumbuhan ketika persaingan dalam perniagaan teras masing-masing semakin meruncing.

Seorang jurucakap Sea berkata syarikat itu sentiasa menyemak dan menyesuaikan keperluan tenaga kerjanya secara berkala.

“Keputusan sebegini sentiasa dibuat selepas pertimbangan yang mendalam.

“Bagi pekerja yang terkesan dengan sebarang perubahan, kami komited untuk menyediakan sokongan sepanjang tempoh peralihan ini,” katanya.

Saham syarikat itu mengalami kemerosotan sejak September 2025 – ketika nilainya dianggarkan sekitar AS$116 bilion – selepas lonjakan harga minyak baru-baru ini menjejas sentimen pengguna serta meningkatkan kos operasi.

Perkembangan ini menyebabkan para pelabur kini meneliti jangkaan pertumbuhan syarikat berkenaan.

Setakat ini, Sea telah menerapkan elemen AI dalam skala kecil, seperti melalui saranan produk dan alat untuk penjual.

Pada Februari, syarikat itu berkata ia akan menjalinkan kerjasama dengan Alphabet milik Google untuk menyepadukan teknologi AI dalam keseluruhan operasinya, termasuk membangunkan ejen beli-belah AI.

Sea juga, menurut beberapa sumber, telah menubuhkan pasukan khas untuk meneroka peluang pelaburan baru dalam teknologi berkenaan bagi memburu enjin pertumbuhan seterusnya melangkaui sektor e-dagang. – Agensi berita.