Singapore Airlines (SIA) berjaya mencapai dua daripada empat sasaran kepelbagaian jantina menjelang tarikh akhir 2025 yang ditetapkan.

Ia termasuk meningkatkan bilangan juruterbang wanita di syarikat penerbangan utamanya sekurang-kurangnya 25 peratus berbanding bilangan yang dicatat pada 2020.

Namun, anak syarikat tambang rendah SIA, Scoot, gagal mencapai sasaran sama untuk meningkatkan bilangan juruterbang wanita berbanding tahap yang direkodkan pada 2021.

Laporan kemampanan SIA Group yang dikeluarkan pada 25 Jun menjelaskan, “semua keputusan pengambilan pekerja dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keperluan jawatan berbanding keupayaan calon, serta kesesuaian keseluruhan”.

Dalam pada itu, Scoot berjaya mencapai sasarannya bagi 2025 untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam jawatan kanan – yang merujuk kepada peranan pengarah dan ke atas – sekurang-kurangnya 25 peratus berbanding 2021.

Namun begitu, SIA terlepas sasaran untuk menyaksikan sekurang-kurangnya 25 peratus pekerja wanita mengisi jawatan kanan bagi peranan naib presiden dan ke atas sebelum tahun kewangan 2025 berakhir.

Laporan itu turut mendedahkan secara keseluruhan, golongan wanita merangkumi 51.9 peratus jumlah kakitangan SIA dan Scoot.

Secara keseluruhan, SIA dan Scoot turut mencatat peningkatan jumlah kakitangan sebanyak 3.1 peratus berbanding 2025 kepada 21,667 orang setakat 31 Mac. 

Daripada jumlah itu, seramai 3,676 orang adalah juruterbang manakala 11,332 kakitangan merupakan kru kabin.

Buat masa ini, terdapat 102 juruterbang wanita dan 7,471 kru kabin wanita.

Menyentuh mengenai isu kecederaan di tempat kerja, kededua SIA dan Scoot merekodkan sifar kemalangan maut dalam tempoh setahun lalu.

Namun, terdapat dua kes kecederaan parah berkaitan pekerjaan dan 480 kes kecederaan melibatkan kakitangan mereka, sekali gus menyumbang kepada kadar kecederaan keseluruhan sebanyak 18.3 kecederaan bagi setiap sejuta jam bekerja.

Sebagai perbandingan, kedua-dua syarikat penerbangan itu melaporkan 10 kes kecederaan parah dan 401 kes kecederaan pada tahun kewangan sebelumnya, iaitu bersamaan 15.7 kecederaan bagi setiap sejuta jam bekerja.

Syarikat itu turut melaporkan kakitangan mereka kini dilatih menggunakan alat digital dan kecerdasan buatan (AI), dengan teknologi berkenaan menjadi semakin penting dalam operasi syarikat.

SIA setakat ini telah memanfaatkan teknologi AI generatif untuk meningkatkan mutu khidmat pelanggan serta mengautomasikan tugasan pentadbiran rutin.

Dari segi iklim pula, pelepasan langsung gas rumah hijau syarikat itu mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus kepada 17.8 juta tan, susulan penggunaan bahan api lebih tinggi bagi operasi penerbangan yang turut meningkat 3.8 peratus kepada 5.6 juta tan.

Namun, menerusi langkah kecekapan dan pengurangan bahan api yang dilaksanakan, SIA dan Scoot dianggarkan berjaya menjimatkan sekitar 118,332 tan pelepasan gas rumah hijau.

“Sektor penerbangan secara meluas diakui sebagai sektor yang sukar untuk dikurangkan pelepasannya memandangkan pilihan penyahkarbonan yang agak terhad berdasarkan teknologi sedia ada di pasaran hari ini,” tambah laporan itu.

SIA Group berikrar mencapai pelepasan karbon sifar bersih daripada seluruh operasinya menjelang 2050, merangkumi semua pelepasan yang berada di bawah kawalan operasi mereka.