Syarikat telekomunikasi Simba telah mengaku menyalahgunakan jalur spektrum secara sengaja serta gagal mematuhi arahan pihak berkuasa, susulan beberapa siri dakwaan yang dibuat pada Oktober oleh pengawal selia telekom negara.

Dalam pemfailan di Bursa Sekuriti Australia pada 17 November, syarikat induk Simba, Tuas Limited, memaklumkan bahawa pengarah syarikat telekomunikasi itu, Encik Richard Tan, akan meletakkan jawatan tertakluk kepada kelulusan pengawal selia, manakala pengarah-pengarah baharu akan dilantik.

Masih belum jelas sama ada pengarah berpangkalan di Singapura itu turut akan berundur daripada jawatannya sebagai ketua eksekutif Simba.

Syarikat itu menambah bahawa ia tidak mempertikaikan dakwaan penggunaan tanpa kebenaran jalur spektrum 2,100 megahertz (MHz) bagi rangkaian 4G, serta penggunaan tanpa kebenaran jalur spektrum 2,340MHz hingga 2,360MHz di sekitar 92 tapak secara tidak berterusan antara 2023 dengan 2026.

Kejadian tersebut didakwa dilakukan secara sengaja dan diluluskan oleh pengurusan kanan Simba.

Syarikat telekomunikasi itu turut mengaku memasang peralatan rangkaian 5G tanpa kebenaran di dua lokasi pada 2023, serta gagal mematuhi perintah mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

“Simba telah memaklumkan IMDA mengenai keadaan di sebalik penggunaan jalur spektrum tanpa kebenaran itu, serta langkah-langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh Simba bagi mengelak perkara tersebut daripada berulang,” kata Tuas.

“Memandangkan perkara ini masih dalam pertimbangan IMDA dan tiada sebarang dapatan dibuat atau disahkan, Tuas tidak berhasrat untuk mengulas lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan dalam pengumuman ini,” tambahnya.

IMDA memperuntukkan frekuensi spektrum – iaitu gelombang udara tidak kelihatan yang membawa isyarat bagi sistem komunikasi – kepada pengendali mudah alih di Singapura.

Syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan menggunakan frekuensi spektrum yang diperuntukkan buat mereka sahaja.

Pengawal selia itu telah mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab kepada Simba untuk menjelaskan dan mempertikaikan dakwaan tersebut selewat-lewatnya pada 16 November.

Jika Simba gagal memberikan penjelasan, hak spektrum syarikat telekomunikasi itu boleh digantung atau dibatalkan.

Syarikat telekomunikasi berkenaan juga mungkin didenda sehingga $1 juta atau 10 peratus daripada pendapatan tahunannya di Singapura – mana-mana yang lebih tinggi.

Pengawal selia itu juga boleh membatalkan atau menggantung lesen telekomunikasi Simba, atau sebahagian daripadanya, atau memendekkan tempoh lesen tersebut.

Notis berkenaan meningkatkan lagi siasatan IMDA yang sedang dijalankan terhadap Simba.

Pada Mei, ia didedahkan bahawa Simba sedang disiasat oleh pengawal selia itu berhubung penggunaan spektrum tanpa kebenaran, yang turut menyumbang kepada kegagalan cadangan pengambilalihan M1 bernilai $1.4 bilion oleh syarikat telekomunikasi tersebut.

Bagi keempat-empat pelanggaran itu, Simba boleh didenda sehingga $75 juta, iaitu kira-kira 40 peratus daripada pendapatan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi tahun kewangan 2026, kata penganalisis DBS, Encik Sachin Mittal.

“Denda maksimum sehingga $75 juta boleh melenyapkan 90 peratus daripada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) syarikat telekomunikasi itu bagi tahun kewangan 2026,” kata Encik Mittal.

“Ini mungkin memaksa Simba menaikkan harga pelan mudah alih pengguna, bagi menampung peningkatan perbelanjaan modal dalam menyelenggara rangkaian 5G serta menaik taraf sistem untuk memenuhi piawaian keselamatan siber,” tambahnya.

Namun, pengakuan Simba itu secara umumnya dilihat sebagai langkah “berterus terang”, justeru mungkin wajar mendapat hukuman lebih ringan, kata perunding urusan di firma penasihat Benhke SGS, Encik Bryan Tan.

Beliau menambah bahawa IMDA berkemungkinan besar akan mempertimbangkan rancangan peletakan jawatan pengarah Simba itu serta pelantikan ahli lembaga pengarah baharu, yang bertujuan menangani isu tadbir urus.

Sekiranya IMDA meluluskan perubahan dalam barisan pengurusan dan lembaga pengarah itu, pembatalan lesen berkemungkinan besar dapat dielakkan, kata Encik Tan.

Ketika menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), seorang jurucakap IMDA berkata pengawal selia itu akan meneliti penyerahan maklumat oleh Simba dan menilai sama ada ia merangkumi semua aspek yang sedang disiasat ke atas syarikat telekomunikasi tersebut.

“Kami kemudian akan memutuskan tindakan sewajarnya yang perlu diambil,” katanya.