Singapore Post (SingPost) telah menjual 10 rumah kedai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan harga $55.5 juta, selepas menawarkan jualan dan sewa kembali pada awal 2025.
Pembelinya adalah Encik Teo Kiang Ang, pengasas dan pengerusi bukan eksekutif Union Gas yang mengesahkan pada 4 Ogos beliau telah membeli hartanah tersebut.
Encik Teo juga adalah pengerusi dan pengasas penyedia perkhidmatan teksi Trans-Cab, lapor The Business Times (BT).
Kesemua 10 hartanah tersebut ditawarkan untuk dijual dan dipasarkan oleh syarikat hartanah CBRE.
Hartanah tersebut merupakan sebahagian besar hartanah SingPost yang terletak di blok HDB.
Ini berdasarkan lokasi pejabat pos di laman web kumpulan itu pada Jun.
Encik Teo berkata bidaan yang dimenangi dibuat oleh salah satu syarikat miliknya.
Harga pembelian adalah 11 peratus lebih tinggi berbanding harga yang diminta iaitu $50 juta.
Dengan jumlah luas strata sebanyak 21,118.77 kaki persegi, hasil kasar bagi rumah kedai itu adalah antara 4.32 dengan 4.98 peratus setahun.
Terletak di pelbagai estet kejiranan HDB, harga yang diminta bagi hartanah tersebut adalah antara $2.4 juta untuk rumah kedai di Teban Gardens Road, dengan $7.1 juta bagi rumah kedai di Bedok North.
Rumah kedai lain terletak di Tanjong Pagar, Clementi West, Towner Road, Serangoon Central, Jurong West, Ang Mo Kio, Bukit Merah Central dan Ghim Moh Estate, lapor majalah The Edge, memetik jurucakap SingPost.
Urus niaga jual dan pajakan balik itu adalah sebahagian daripada rancangan SingPost untuk melepaskan aset bukan terasnya sambil mengekalkan perkhidmatan pejabat pos semasa, kata jurucakap syarikat kepada BT pada 19 Jun.
SingPost telah menutup sekitar sedozen pejabat pos dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat penurunan sektor itu secara berterusan.
Rangkaian pejabat posnya juga tidak menguntungkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kerugian operasi sebanyak $14.4 juta untuk tahun kewangan 2025 dan $14.5 juta untuk tahun kewangan 2024.
Pada 2024, syarikat itu mengumumkan rancangannya untuk melepaskan aset dan perniagaan bukan teras bagi membuka nilai pemegang saham.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg