Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji mantan CEO SingPost dipotong separuh kepada $616,400

Jun 26, 2025 | 3:38 PM
Vincent Phang, SingPost
Singapore Post (SingPost) masih belum mengumumkan pengganti kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Vincent Phang, yang dipecat pada Disember 2024 setelah didapati cuai dalam menguruskan siasatan dalaman berhubung satu laporan daripada pemberi maklumat. - Foto BT

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Singapore Post (SingPost), Encik Vincent Phang, yang dipecat susulan kesilapan dalam menangani aduan pemberi maklumat, menerima saraan berjumlah $616,400 bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.

Menurut laporan tahunan terkini SingPost yang dikeluarkan pada 24 Jun, pendapatan beliau merangkumi gaji tetap sebanyak $570,600, caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebanyak $10,500 dan pembayaran dalam bentuk faedah lain berjumlah $35,200.

Faedah syarikat tersebut pada umumnya termasuk elaun perubatan, elaun fleksibel, serta faedah lain seperti elaun kereta dan anugerah perkhidmatan lama, jika berkenaan.

Beliau menerima pendapatan sekitar $1.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya, lapor The Business Times (BT).

Encik Phang dipecat SingPost pada 21 Disember 2024, bersama mantan Ketua Pegawai Kewangan, Encik Vincent Yik, dan mantan CEO unit perniagaan antarabangsa SingPost, Encik Li Yu, selepas mereka didapati cuai dalam menangani siasatan dalaman berhubung satu laporan tukang adu atau ‘whistleblower’ yang diterima pada awal 2024.

‘Whistleblower’ ialah pemberi maklumat yang secara munasabah percaya adanya bukti salah laku terhadap sesetengah individu atau kumpulan, lalu mengambil keputusan mendedahkan salah laku berkenaan.

Laporan tahunan itu tidak menyatakan sama ada gaji Encik Phang dikira secara prorata.

Pengganti beliau masih belum diumumkan SingPost.

Jumlah saraan sebenar Encik Li tidak dinyatakan dalam laporan tersebut.

Sebaliknya, beliau dikategorikan menerima gaji antara $250,000 dengan $500,000 bagi tempoh perkhidmatan dari 1 April hingga 21 Disember 2024.

Bagi Encik Yik pula, gajinya tidak diperincikan.  

Sebaliknya, laporan tahunan itu menyatakan bahawa gaji sekitar $950,000 telah dibayar kepadanya dan juga mantan CEO unit perniagaan Singapura SingPost, Encik Shahrin Abdol Salam, yang meletak jawatan pada Februari 2025 – kurang setahun selepas beliau menyandang jawatan tersebut pada 1 Mei 2024.

Laporan tahunan itu turut mendedahkan bahawa jumlah ganjaran yang dibayar kepada para pengarah bukan eksekutif SingPost melebihi $1.3 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak $288,600 diberikan kepada pengerusi lembaga pengarah SingPost, Encik Simon Israel, yang dijangka berundur daripada jawatan tersebut tidak lama lagi.

Sembilan lagi pengarah bukan eksekutif lain menerima ganjaran antara $10,100 dengan $176,000 setiap seorang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg