Singapore Post (SingPost) memperkenal perkhidmatan baru bagi pelanggan korporat yang membolehkan mereka menghantar bungkusan ke Amerika Syarikat, selepas perkhidmatan pos standard bagi barangan komersial dihentikan buat sementara waktu.
Langkah itu berkuat kuasa pada 25 Ogos, menjelang berakhirnya pengecualian peraturan ‘de minimis’, atau pengecualian cukai kastam ke atas bungkusan bernilai rendah, pada 29 Ogos.
Hanya dokumen tanpa nilai diisytiharkan boleh dihantar melalui pos, manakala semua barangan lain ke Amerika mesti dihantar menggunakan khidmat ‘Speedpost Express’ yang mematuhi peraturan baru negara tersebut, jelas SingPost dalam satu hantaran di Instagram.
Selain itu, pengirim masih boleh menghantar barangan bernilai komersial ke Amerika, menggunakan perkhidmatan pos laju, ‘Speedpost Express’, untuk penghantaran antarabangsa.
Khidmat penghantaran itu dapat memenuhi keperluan kastam terbaru – termasuk duti dan cukai yang perlu dibayar penerima – serta membantu memastikan proses penghantaran berjalan lancar.
SingPost turut memperkenalkan perkhidmatan baru, khusus untuk pelanggan korporat, iaitu ‘Speedpost Direct International’, sebagai respons terhadap peraturan baru Amerika.
Perkhidmatan itu diperkenal selepas langkah penangguhan pos sementara di peringkat dunia, dengan sekurang-kurangnya 25 negara – termasuk Perancis, Britain, Jerman, Italy, India, Australia dan Jepun – menghentikan penghantaran bungkusan ke Amerika, menurut Kesatuan Pos Sejagat (UPU) pada 26 Ogos.
Negara berkenaan mengambil langkah penangguhan itu atas sebab “ketidaktentuan berkaitan perkhidmatan transit”, lapor The Business Times (BT).
Pengguna di Amerika sebelum ini dapat mengimport barangan bernilai rendah dari luar negara di bawah pengecualian ‘de minimis’, yang membolehkan bungkusan bernilai di bawah AS$800 ($1,030) dihantar tanpa dikenakan duti.
Pengecualian itu telah ditangguh untuk seluruh dunia pada Julai, menyusuli penangguhan sebelum ini yang menyasarkan barangan bernilai rendah dari China.
Mulai 29 Ogos, bungkusan sebegitu akan dikenakan tarif khusus mengikut negara, dengan 10 peratus untuk Singapura.
UPU, sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menambah bahawa pengecualian masih terpakai untuk kategori tertentu, termasuk dokumen dan hadiah bernilai sehingga AS$100.
Perkhidmatan baru ‘Speedpost Direct International’ beroperasi dengan model ‘penghantaran dengan duti dibayar’ (DDP), apabila duti dan cukai dikira di destinasi penghantaran dan ditanggung oleh pengirim.
Ini berbeza dengan model ‘penghantaran dengan duti tidak dibayar’ (DDU), apabila cukai dikenakan semasa bungkusan tiba, dan penerima perlu membayar cukai tersebut sebelum bungkusan dapat dihantar.
Perkhidmatan baru ini memberi penjimatan kos sehingga 80 peratus berbanding khidmat ‘Speedpost Express’, namun mengambil masa transit lebih lama, iaitu lima hingga lapan hari bekerja, jelas SingPost.
Khidmat ‘Speedpost Express’ “dilengkapi sepenuhnya” untuk mematuhi peraturan kastam terbaru Amerika dan menyasarkan penghantaran dalam tiga hingga enam hari, tambah SingPost.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg