Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung operasi suku pertama SingPost turun 60% kepada $3.4j

Berbanding $8.4j yang dicatat pada suku pertama 2024
Aug 22, 2025 | 3:04 PM
SingPost, profit
Kadar penghantaran lebih rendah menyebabkan pendapatan SingPost dalam perniagaan penghantaran dalam negara dan antarabangsa merosot, manakala jumlah penghantaran surat turut susut ekoran peralihan kepada media elektronik. - Foto fail

Keuntungan operasi kumpulan Singapore Post (SingPost) bagi suku pertama 2025 yang berakhir 30 Jun mencatat penurunan 60 peratus kepada $3.4 juta, berbanding $8.4 juta yang dicatat pada suku pertama 2024.

Menurut SingPost dalam laporan bursa pada 22 Ogos, keuntungan operasi yang susut itu didorong oleh tekanan pasaran serta persaingan yang meningkat.

Pendapatan kumpulan turut merosot 23.8 peratus kepada $162.3 juta, berbanding $213 juta pada suku pertama 2024.

Sebahagian besarnya disebabkan oleh “pengurangan ketara dalam penghantaran antarabangsa”.

Selain itu, penurunan margin keuntungan operasi kepada hanya 2.1 peratus turut menyumbang kepada prestasi yang lebih lemah, lapor The Business Times (BT).

Pada Julai, firma penilaian kredit S&P Global Ratings menurunkan penarafan jangka panjang SingPost daripada ‘BBB’ kepada ‘BBB-’ kerana kos operasi yang tinggi. 

Penurunan itu menunjukkan SingPost masih selamat untuk pelaburan, namun risikonya naik sedikit kerana kemampuan menyelesaikan komitmen kewangan agak lemah.

Perbelanjaan operasi kumpulan merosot 22.7 peratus daripada $204.6 juta kepada $158.2 juta susulan penjualan perniagaan SingPost di Australia pada Mac.

Syarikat itu masih belum melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru selepas menamatkan perkhidmatan Encik Vincent Phang pada 2024 berikutan pengendalian tidak memuaskan terhadap aduan yang diterima.

Kadar penghantaran yang lebih rendah menyebabkan pendapatan SingPost dalam perniagaan penghantaran dalam negara dan antarabangsa merosot, manakala jumlah penghantaran surat turut susut ekoran peralihan kepada media elektronik.

Jumlah e-dagang dalam negara dan antarabangsa juga menurun.

Pada April, SingPost dan gergasi e-dagang Alibaba bersetuju menamatkan pegangan silang (cross-shareholding) minoriti masing-masing dalam anak syarikat SingPost, Quantium Solutions International (QSI). 

Langkah itu membawa kepada penjualan 17.6 peratus kepentingan QSI di Shenzhen 4PX kepada cabang logistik Alibaba Group, Cainiao.

Kumpulan itu kemudian menandatangani perjanjian bagi penjualan QSI di lima negara dan wilayah Asia-Pasifik kepada syarikat logistik antarabangsa Morning Global.

Keuntungan daripada penyewaan hartanah, terutama daripada pendapatan sewa SingPost Centre, kekal stabil, kata kumpulan itu. 

Kadar penyewaan keseluruhan hartanah tersebut adalah 97.8 peratus pada 30 Jun, berbanding 96 peratus pada suku pertama 2024.

Syarikat itu menambah bahawa perniagaan aset hartanah mereka dijangka kekal stabil.

Pada awal Ogos, SingPost menjual 10 rumah kedai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bernilai $55.5 juta selepas menawarkannya untuk penjualan dan pajakan.

Kumpulan itu berkata perkhidmatan pos sedia ada akan dikekalkan, dan urus niaga tersebut masih tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan.

Perniagaan rantaian pergerakan muatan, atau freight forwarding mencatat keuntungan lebih rendah ekoran ketidaktentuan dalam pasaran pengangkutan laut. 

SingPost menamatkan operasi perniagaan penghantaran barangnya, Famous Holdings, pada Julai, dengan penjualan bernilai $177.9 juta.

Setakat akhir Jun, kumpulan itu mempunyai nilai tunai dan setara tunai sebanyak $728.1 juta, berbanding $696.4 juta pada akhir Mac.

Jumlah pinjaman kekal pada $349.6 juta, manakala jumlah ekuiti keseluruhan menurun 0.3 peratus kepada $1.6 bilion setakat 30 Jun.

Saham SingPost ditutup pada $0.50 pada tengah hari 22 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg