Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Nanning di China pintu utama tingkat hubungan dengan Asean
SM Lee: Nanning di China pintu utama tingkat hubungan dengan Asean
Koridor dagangan baru bernilai 70b yuan ($13.1 bilion) perkukuh kecekapan logistik, rangsang lonjakan niaga
SM Lee: Nanning di China pintu utama tingkat hubungan dengan Asean
NANNING (China): Koridor Dagang Darat-Laut Antarabangsa (ILSTC), sebuah koridor perdagangan baru yang menghubungkan wilayah barat China dengan Asean, telah membawa kepada kos lebih berdaya saing dan kecekapan masa yang lebih baik untuk laluan penghantaran.
Hubungan perdagangan antara China dengan Asia Tenggara juga akan mendapat lonjakan selanjutnya dengan pembukaan Terusan Pinglu bernilai lebih 70 bilion yuan ($13.1 bilion), yang akan mewujudkan laluan langsung untuk kapal kargo dari barat daya China ke laut.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata beliau sangat gembira melihat kejayaan ILSTC semasa melawat ibu pejabat Kumpulan Port Antarabangsa Teluk Beibu (BGIPG) pada 18 Mei – hari pertama lawatan lima harinya ke China.
“China mempunyai banyak potensi pembangunan di wilayah barat,” katanya, sambil menambah “hubungan ke dunia luar, sejauh (Sungai Yangtze), ke Shanghai, adalah perjalanan yang sangat jauh”.
Laluan yang lebih pantas akan direalisasikan “melalui Guangxi, melalui Teluk Beibu, dan keluar ke Asia Tenggara, Asia Timur Laut atau seluruh dunia”, katanya selepas lawatan itu, ketika beliau diberi taklimat mengenai kemajuan terusan tersebut.
Menyentuh tentang ILSTC, Encik Lee berkata: “Kami memulakan rancangan ini, dan selepas banyak kerja yang dilakukan oleh pihak China dan rakan kongsi Singapura, saya sangat gembira melihat projek ini berjaya dengan sangat baik.”
Pada 2016, ketika beliau masih menggalas jawatan selaku Perdana Menteri, Encik Lee mengusulkan kajian mengenai pembinaan Koridor Pengangkutan ke Selatan dari Chongqing ke Singapura, bagi menggalakkan pembangunan perdagangan antara China barat dengan Asia Tenggara.
Ini kemudian dikenali sebagai ILSTC.
“Anda telah memaklumkan saya mengenai beberapa pelaburan baharu yang sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan Terusan Pinglu. Saya berharap projek ini berjaya.
“Saya juga yakin apabila siap kelak, pelabuhan di sini akan terus berkembang maju,” jelasnya.
Terusan Pinglu sepanjang 134.2 kilometer bermula dari Hengzhou – sebuah daerah di bawah pentadbiran Nanning, ibu kota Guangxi – hingga ke Teluk Tonkin, yang dikenali sebagai Teluk Beibu di China, melalui Sungai Qin.
Dalam catatan media sosialnya pada 18 Mei, Encik Lee berkata Nanning, sebagai ibu kota wilayah yang berhampiran dengan Asia Tenggara, merupakan pintu utama bagi kerjasama antara Asean dengan China.
Pembukaan terusan ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelabuhan di wilayah Guangxi, yang selama ini jauh ketinggalan berbanding pelabuhan utama di sepanjang pantai China.
Pelabuhan utama di sana – iaitu Qinzhou, Fangcheng dan Beihai – dikendalikan oleh BGIPG, syarikat yang turut melibatkan PSA Singapura sebagai pemegang saham di dalamnya.
Timbalan Pengurus Besar BGIPG, Encik Zhou Yan, berkata laluan baharu itu akan membolehkan lonjakan ketara dalam muatan kargo apabila ia dibuka pada September.
“Tidak syak lagi pembukaan terusan itu akan meningkatkan daya tampung,” katanya kepada media Singapura.
“Pembukaannya akan seterusnya mengoptimumkan kos logistik di sepanjang koridor dan meningkatkan kecekapan,” ujarnya.
Beliau menambah, berdasarkan anggaran awal, ia akan menambah lebih tiga juta tan kargo.
Jumlah itu mewakili kurang daripada 1 peratus daripada jumlah daya tampung BGIPG.
Namun, Encik Zhou menunjukkan anggaran memberi petanda pertumbuhan boleh melonjak kepada lebih 150 juta tan setahun dalam jangka panjang.
Laluan Terusan Pinglu akan membawa kapal melalui laluan yang menghampiri Vietnam, manakala sesetengah penghantar sebelum ini terpaksa membuat peralihan melalui Guangdong.
Menurut Encik Zhou, terdapat “potensi pasaran yang besar” memandangkan Asia Tenggara mempunyai lebih satu perempat daripada jumlah penduduk dunia.
“Tugas utama kami adalah untuk menyelaras rantaian industri dan rantaian bekalan dalam kalangan negara anggota, memastikan semua pihak menemui peranan mereka sambil bekerjasama,” katanya.
