STOCKHOLM: Gergasi penstriman muzik, Spotify, berkata pada 4 Disember ia akan memberhentikan sekitar 1,500 pekerja, atau 17 peratus daripada jumlah pekerjanya, untuk mengurangkan kos perniagaan.
Syarikat itu sudah pun memberhentikan 600 pekerja pada Januari dan 200 lagi pada Jun.
Selepas satu pusingan pemberhentian kerja pada awal 2023 oleh pelbagai syarikat teknologi, beberapa syarikat dalam sektor itu, seperti Amazon dan LinkedIn milik Microsoft, sekali lagi telah membuat pengumuman untuk mula mengurangkan tenaga kerja masing-masing.
Dalam sepucuk surat kepada pekerjanya, ketua pegawai eksekutif (CEO) Spotify, Encik Daniel Ek, berkata syarikat itu mengambil lebih ramai pekerja pada 2020 dan 2021 disebabkan kos modal lebih rendah.
Walaupun pengeluaran syarikat meningkat, kebanyakannya dikaitkan dengan pemilikan lebih banyak sumber.
Pada suku ketiga, syarikat itu meraih untung, dibantu oleh kenaikan harga khidmat penstriman, pertumbuhan pelanggan, dan ramalan bahawa bilangan pendengarnya akan mencapai 601 juta sebulan pada suku percutian.
Pada 4 Disember, Encik Ek berkata bilangan pekerja yang diberhentikan itu kelihatan besar memandangkan laporan pendapatan dan prestasi positif syarikat itu baru-baru ini.
Beliau menambah, syarikatnya telah berbincang untuk memberhentikan jumlah pekerja yang lebih kecil bagi 2024 dan 2025.
“Bagaimanapun, setelah mengambil kira jurang antara sasaran matlamat kewangan kami dengan kos operasi kami ketika ini, saya memutuskan bahawa satu tindakan berskala besar untuk mengecilkan kos adalah pilihan terbaik untuk mencapai matlamat kami,” ujar beliau. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg