Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, 12 negara lain sokong deklarasi perkukuh daya tahan rantaian bekalan

Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT) adakan mesyuarat menteri buat julung-julung kalinya di S’pura; alu-alukan penyertaan Malaysia, Paraguay
Nov 18, 2025 | 7:42 PM
Gan Kim Yong, deklarasi, negara
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong di sidang media menyusuli Mesyuarat Menteri Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT) yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 18 November. - Foto ST

Singapura dan 12 negara lain telah menyokong satu deklarasi kerjasama demi memastikan rantaian bekalan yang lebih terjamin dan berdaya tahan.

Komitmen itu dibuat semasa Mesyuarat Menteri Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT) yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 18 November – dianjur oleh Singapura selaku rakan penyelaras pertama perkongsian tersebut.

Bercakap dalam satu sidang media di Hotel Shangri-La menyusuli mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata deklarasi tersebut akan membolehkan tindak balas yang lebih pantas dan terselaras terhadap risiko dan gangguan rantaian bekalan utama.

Sidang media itu turut dihadiri para menteri dan wakil daripada anggota negara lain perkongsian itu.

“Anggota negara akan meneruskan deklarasi ini untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan penyelarasan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan daya tahan rantaian bekalan,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Perkongsian FIT telah dilancarkan pada September 2025 oleh 14 negara kecil dan sederhana yang bergantung pada perdagangan untuk menyokong sistem perdagangan berasaskan peraturan dan memajukan perdagangan global yang terbuka dan inklusif.

Singapura dengan New Zealand, Switzerland dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan penganjur bersama perkongsian itu.

Anggota negara pengasas lain termasuk Brunei, Chile, Costa Rica, Iceland, Liechtenstein, Maghribi, Norway, Panama, Rwanda dan Uruguay.

Semasa mesyuarat menteri yang pertama, perkongsian tersebut turut mengalu-alukan penyertaan dua anggota negara baru – Paraguay dan Malaysia – yang menjadikan jumlah keahlian kepada 16 negara.

Daripada 16 negara itu, 13 daripadanya menyokong deklarasi mengenai daya tahan rantaian bekalan itu, yang tidak terikat dari segi undang-undang tetapi menetapkan amalan terbaik sebagai tindak balas kepada risiko dan gangguan utama.

Tiga negara yang tidak menandatangani deklarasi itu ialah Maghribi, Rwanda dan Paraguay.

Ditanya mengenai hal itu, Encik Gan berkata ia memberi gambaran baik tentang bagaimana Perkongsian FIT itu mempunyai “sistem geometri fleksibel dalam membuat keputusan”.

Dalam erti kata lain, anggota negara yang sudah bersedia boleh teruskan dengan inisiatif yang dikemukakan, sementara memastikan pintu kekal terbuka untuk anggota lain ikut serta pada masa depan.

Mengulas lanjut tentang deklarasi itu, Pengarah Sekretariat Negara bagi Ehwal Ekonomi, Switzerland, Cik Helene Budliger Artieda, berkata terdapat tiga elemen penting deklarasi itu.

Pertama menggalak pertukaran maklumat untuk mengenal pasti, mengelakkan dan mengurangkan risiko dan gangguan rantaian bekalan utama; kedua memudahkan perdagangan semasa krisis, seperti menghapuskan cukai kastam; dan ketiga mempertingkat komunikasi dan penyelarasan dalam kecemasan.

Butiran lanjut mengenai inisiatif itu akan diusahakan, dengan kemajuannya akan disemak apabila mesyuarat yang seterusnya diadakan di Auckland, New Zealand pada pertengahan 2026.

Semasa mesyuarat pertama itu, perkongsian tersebut turut melancarkan tiga aliran kerja baru.

Ini termasuk memudahkan perdagangan, memperkukuh sistem perdagangan berasaskan peraturan, dan memanfaatkan teknologi untuk menangani cabaran semasa dalam proses kastam.

Ditanya jika Perkongsian FIT itu adalah “paparan perpaduan” terhadap tarif Amerika Syarikat, Encik Gan berkata tidak, sambil menambah bahawa ia tidak menyatukan usaha anggota negara untuk menentang mana-mana negara tertentu.

“Ia benar-benar satu pengiktirafan bahawa sistem perdagangan berasaskan peraturan adalah amat penting untuk kita semua... Bahkan, kami mulakan usaha sekitar dua tahun lalu – jauh sebelum Hari Liberalisasi dan malah, sebelum Encik Trump menjadi presiden,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg