Syarikat yang berhasrat mengambil kesempatan daripada perbezaan kadar tarif Amerika Syarikat “perlu berhati-hati” bagi mengelak risiko dikenakan penalti berat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 9 September.
“Jika anda fikir dengan (membuat urus niaga) melalui Singapura, anda boleh menikmati tarif 10 peratus berbanding 19 peratus di Malaysia, itu satu kesilapan,” kata Encik Gan.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog mengenai cara menangani tarif Amerika, yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan diadakan di Hotel Orchard Singapore.
Pihak berkuasa Amerika juga sedang memberi lebih perhatian terhadap kegiatan pemunggahan, tambah Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Jika kegiatan pemunggahan sedemikian melanggar peraturan asal usul barangan – yang masih sedang dimuktamadkan – Amerika akan sama ada mengenakan kadar tarif asal bagi negara terbabit, atau penalti 40 peratus jika terdapat cubaan dengan sengaja mengelak peraturan pemunggahan.
“Inilah masanya saya ingin mengingatkan semua syarikat kita supaya lebih peka terhadap peraturan yang ditetapkan oleh Amerika,” kata Encik Gan.
Bagi syarikat yang kurang pasti tentang peraturan tersebut, mereka boleh merujuk kepada SBF yang akan memberi panduan serta penjelasan mengenai peraturan yang diguna pakai, kata Encik Gan.
Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon, yang bertanya sama ada tarif asas paling rendah sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas Singapura membuka ‘peluang arbitraj tarif’.
Istilah itu merujuk pada keadaan apabila syarikat cuba mengambil kesempatan daripada perbezaan kadar tarif antara negara, memandangkan semua negara jiran Asean dikenakan kadar lebih tinggi, lapor The Business Times (BT).
Kegiatan arbitraj merujuk pada pembelian di sebuah pasaran dan dijual di pasaran lain bagi meraih untung.
Menurut Encik Gan, beliau kerap mengingatkan warga Singapura supaya “jangan terlalu gembira” dengan kadar rendah itu.
“Pertama, anda perlu ingat kita mulanya tidak dikenakan tarif, jadi apabila sekarang dikenakan tarif 10 peratus, agak pelik jika kita rasa gembira tentangnya,” kata Encik Gan.
Beliau menegaskan bahawa tarif lebih tinggi ke atas rakan dagang utama Singapura memberi kesan kepada negara ini, terutama apabila barangan Singapura digunakan dalam produk yang dieksport ke Amerika.
“Negara-negara itu akan berdepan tarif lebih tinggi, sekali gus permintaan akan menjadi perlahan, dan eksport kita ke negara-negara itu juga akan merosot,” ujarnya.
Kedua, tarif tersebut memberi kesan kepada pelaburan.
Tatkala Amerika memberi tumpuan pada pemindahan semula keupayaan pengilangan ke dalam negara, langkah itu berpotensi memindahkan pelaburan dari negara lain.
Kesan ketiga ialah negara-negara mungkin membuat komitmen untuk meningkatkan pembelian atau pelaburan di Amerika, sekali gus menjejas rakan dagang sedia ada, termasuk Singapura.
Meskipun banyak syarikat mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ disebabkan ketidakpastian itu, mereka sepatutnya “tunggu sambil bertindak”, kata Encik Gan.
“Kita boleh melabur dalam prasarana kita, meningkatkan hubungan, serta membangunkan tenaga kerja melalui peningkatan kemahiran dan penambahbaikan, supaya apabila masanya tiba, kita bersedia untuk bertindak dengan pantas,” tambah beliau.
Singapura sepatutnya memanfaatkan kelebihan utamanya sebagai negara yang cekap dan pantas untuk mencipta lebih banyak peluang bagi diri sendiri.
Menurut Encik Gan, Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) telah ditubuhkan bagi tujuan tersebut.
Selain menangani cabaran ketika ini, Sert turut menyemak strategi ekonomi jangka panjang Singapura dari lima sudut berbeza, termasuk daya saing di peringkat sejagat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg