Singapura bersedia menerima kredit karbon pemuliharaan hutan tetapi kredit karbon tersebut perlu datang daripada projek-projek yang mempertimbangkan penebangan hutan di seluruh bidang kuasa, bukan sahaja penebangan hutan pada peringkat projek, kata seorang jurucakap pemerintah kepada akhbar The Business Times (BT).
Jurucakap itu berkata bahawa pendirian itu bertujuan menangani risiko “kebocoran karbon” yang berlaku apabila penebangan hutan hanya “dipindahkan” dari dalam sebuah kawasan projek kepada sebuah kawasan yang tidak dipantau.
Kebocoran satu perkara yang membimbangkan di negara-negara yang mempunyai sejarah tahap penebangan hutan yang ketara, dan dalam kelas kredit pemuliharaan yang dikenali sebagai Redd+. Redd+ membawa maksud “Mengurangkan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Degradasi Hutan”.
Singapura sedang bersiap mengeluarkan senarai negara tuan rumah, program dan metodologi yang layak di bawah rangka kerja Kredit Karbon Antarabangsa (ICC) pada hujung tahun, yang membolehkan syarikat-syarikat mengimbangi sehingga 5 peratus daripada pelepasan cukai mulai 2024.
Ini selepas Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menerbitkan kriteria kelayakan yang menyokong senarai itu.
Bidang kuasa Redd+
Projek Redd+ telah mendapat perhatian ketat di tengah-tengah keraguan yang memuncak tentang integriti tuntutan pengurangan pelepasan mereka.
Menjawab pertanyaan BT, seorang jurucakap pemerintah berkata Singapura mengiktiraf keperluan menyokong pengurusan dan pemuliharaan hutan sedia ada dan memulihkan kawasan-kawasan hutan yang telah ditebang.
Lantaran itu, “kami akan terima projek-projek Redd+ yang mengamalkan pendekatan bidang kuasa di negara-negara yang mempunyai sejarah tahap penebangan hutan yang ketara”, katanya.
Ini termasuk projek yang dibangunkan menggunakan rangka kerja bidang kuasa dan terkandung Redd+ (JNR) bagi Verified Carbon Standard (VCS), satu program pensijilan peneraju industri yang digunakan untuk mengesahkan projek mengimbangi karbon.
Projek JNR dilihat mengelak beberapa kritikan yang melanda metodologi Redd+ di peringkat projek. Kredit peringkat projek Redd+ telah menanggung kritikan tentang garis dasar dan pengkreditan berlebihan tetapi projek JNR dilihat tertakluk kepada pengawasan yang lebih ketat.
Kedudukan ini sejajar dengan kriteria kelayakan yang ditetapkan Skim Pengurangan dan Pengimbangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (Corsia) yang dianggap sebagai salah satu daripada standard antarabangsa yang paling ketat dan bereputasi, jelas jurucakap tersebut.
Integriti persekitaran
Pemerintah tidak mungkin memasukkan kredit “banyak hutan, penebangan hutan rendah” (HFLD) pada versi senarai kelayakan awal.
Jurucakap tersebut berkata bahawa kredit tersebut masih baru dan akan memerlukan penilaian selanjutnya bagi integriti persekitaran.
Kredit HFLD telah dicadangkan untuk kawasan hutan lebat yang mempunyai sejarah kadar penebangan hutan yang rendah berasaskan bahawa ia penting untuk melindungi kawasan-kawasan tersebut dari awal. Namun, sama ada pelepasan yang dielakkan daripada projek-projek tersebut benar-benar tambahan kepada perniagaan masih merupakan satu perdebatan.
Pendirian pemerintah Singapura adalah untuk memantau perkembangan dan wacana antarabangsa mengenai kredit ini, meneroka bekerjasama dengan bidang kuasa HFLD untuk memperhalusi metodologi HFLD dan menghasilkan mekanisme yang menawarkan insentif untuk mempromosikan pemuliharaan, kata jurucakap itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg