Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura bangun wadah baru bagi ekosistem data hijau

Nov 16, 2023 | 4:15 PM
PERMUDAH PELAPORAN DATA KEMAMPANAN: Wadah baru Gprnt.ai bertujuan menyatu dan menggabungkan program perintis di bawah Projek Greenprint bagi menyokong pelaporan data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Singapura.
PERMUDAH PELAPORAN DATA KEMAMPANAN: Wadah baru Gprnt.ai bertujuan menyatu dan menggabungkan program perintis di bawah Projek Greenprint bagi menyokong pelaporan data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Singapura. - Foto fail BT

Usaha Singapura membina ekosistem hijau yang disokong data bersih dan jelas berkembang maju dengan wadah digital bersepadu baru.

Wadah baru itu, Gprnt.ai, bertujuan menyatu dan menggabungkan program rintis sedia ada di bawah Projek Greenprint bagi menyokong pelaporan kemampanan dan keperluan data Singapura.

Dilancarkan pada Disember 2020 oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Projek Greenprint bertujuan menjadi garis dasar untuk cara syarikat melaporkan data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Didorong entiti baru yang dipanggil Greenprint Technologies, platform ini akan dilancarkan pada suku pertama 2024 dan dipertingkat secara bertahap.

Greenprint Technologies akan disokong oleh MAS, bersama HSBC, KPMG, Mitsubishi UFJ Financial Group dan Microsoft.

“Projek Greenprint berusaha merapatkan jurang ini dengan merintis perkakasan digital untuk menyelaraskan pengumpulan, akses dan penggunaan data ESG,” kata ketua MAS, Encik Ravi Menon, pada persidangan Pesta Fintech Singapura pada Khamis.

Menurut beliau, di bawah platform baru itu alat pelaporan ESG yang dipermudah yang memfokus pada keperluan perusahaan kecil dan sederhana (SME) telah diwujudkan.

Alat itu akan mengautomasikan proses pelaporan ESG, menjadikannya lebih mudah bagi firma besar dan kecil berbuat demikian.

Mereka yang melaporkan data ESG boleh memilih apakah mereka ingin mengeluarkan maklumat daripada sistem digital yang mereka gunakan setiap hari. 

Ini termasuk meter utiliti, perakaunan perniagaan dan penyelesaian gaji, dan sistem pengurusan bangunan dan sisa.

Bagi pengguna Singapura, Encik Menon berkata data yang dipercayai yang diselenggara oleh agensi pemerintah juga boleh diperoleh melalui wadah perniagaan MyInfo.

Projek Greenprint akan menyusun semua data dan kemudian mengembalikannya kepada entiti pelapor.

Apabila tiada sumber data, Encik Menon berkata mereka akan cuba menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) untuk membolehkan pengguna memuat naik dokumen dan mendapatkan data penting.

Contohnya, chatbot berkuasa Microsoft GPT4 akan membantu merapatkan jurang data dan juga mencipta naratif kemampanan sesuai berdasarkan data.

“Melebihi Singapura, Greenprint juga akan mencari rakan kongsi dan mengumpul data dari negara dan sektor di mana institusi kewangan kita mempunyai keperluan mendesak, untuk menyokong pengurusan risiko iklim dan usaha peralihan bersih sifar mereka dengan lebih baik,” kata Encik Menon.

Beliau menambah bahawa projek itu akan melibatkan lebih ramai rakan kongsi tidak lama lagi dan mengembangkan wadah itu pada peringkat serantau dan global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg