Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

S’pura boleh jadi hab kekayaan Islam luar pesisir dalam masa 5 tahun

Jun 22, 2023 | 02:09 PM



Singapura boleh menjadi hab global bagi kekayaan Islam luar pesisir dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan adanya peningkatan minat pelaburan dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Demikian menurut pemain industri pada persidangan Invest Asean 2023 Maybank pada Rabu, lapor The Business Times.


Pada persidangan itu, ahli panel yang terdiri daripada pakar pengurusan kekayaan, kewangan Islam dan syarikat amanah menyatakan bahawa aset kekayaan Islam berkembang pada kadar yang sama seperti kekayaan konvensional.

Khususnya apabila kekayaan Islam luar pesisir semakin berkembang, ia menawarkan peluang besar kepada pemain kewangan di Asia Tenggara, kata mereka.

Ketua kumpulan pengurusan kekayaan dan perkhidmatan kewangan masyarakat Maybank Singapura, Encik Alvin Lee, berkata data kewangan global menunjukkan bahawa pusat tumpuan ekonomi dunia sedang beralih dari hemisfera barat ke Asia Pasifik.

Asia Pasifik menyumbang 30 peratus daripada kekayaan individu bernilai tinggi (HNWI) global, dengan peningkatan kekayaan kelas pertengahan turut menyokong pertumbuhan kekayaan rantau ini, kata beliau.

Di Asia Tenggara sendiri, terdapat trend yang sama peningkatan kekayaan bagi HNWI dan golongan pendapatan sederhana.

Sementara itu, perhatian pelabur global sudah beralih kepada pelaburan alternatif dan yang mempunyai tujuan khusus, seperti pelaburan mampan, aset digital dan kekayaan Islam.

Sekitar 20 peratus hingga 30 peratus kekayaan Islam disimpan di luar pesisir, terutamanya di Amerika Syarikat, Britain dan Switzerland, kata Encik Lee.

Walaupun bahagian Asia dalam sektor kekayaan itu ini masih agak kecil, ia telah menarik minat pelabur global.

Dr Muhd Ramadhan Fitri, pengarah Program Strategik Kewangan Islam Maybank Islamic, berkata kewangan Islam telah menarik minat di peringkat global kerana pelabur tertarik kepada dinamik pelaburannya yang beretika dan bertanggungjawab.

Golongan muda Muslim yang kaya adalah pemacu utama industri kewangan Islam di Asia Tenggara, tambahnya.

“Mereka (golongan muda Muslim yang kaya) sedar tentang kepentingan pelaburan beretika dan prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), yang sudah lama wujud sebelum ESG,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kekayaan Islam telah menikmati pertumbuhan stabil, walaupun semasa pandemik Covid-19.

Kadar pertumbuhan tahunan kompaun bagi aset kewangan Islam ialah 9 peratus dari 2016 hingga 2021, menurut Analisis BCG.

Kekayaan Islam dianggarkan berjumlah AS$11.2 trilion ($15 trilion) merentasi 10 bidang kuasa aset perbankan Islam teratas, menurut Global Wealth Databook 2022 Credit Suisse, kata beliau lagi.


Ia tertumpu di Indonesia (AS$3 trilion), Iran (AS$2.3 trilion) dan Arab Saudi (AS$2 trilion).

“Pertumbuhan ekonomi Indonesia yang teguh, perbandaran yang pesat dan syarikat kecil dan sederhana yang berkembang pesat telah memacu pertumbuhan kekayaan Islam. Ini menjadikan Indonesia pasaran yang sangat baik untuk pengurusan kekayaan,” tambah Encik Lee.

Singapura ialah pusat kewangan luar pesisir yang paling digemari dalam kalangan HNWI dari Indonesia (32 peratus) dan Malaysia (28 peratus), menurut Tinjauan Pengurus Kekayaan Global BCG pada 2021.

Terdapat potensi bagi pemain kewangan Islam meneroka pendekatan dari mula hingga akhir, saran Dr Ramadhan.

Mereka boleh menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan yang lengkap, daripada pelaburan dan pengumpulan kekayaan kepada perancangan warisan.

Dari perspektif seorang Muslim yang kaya, Singapura merupakan hab kekayaan Islam yang tidak dapat dipertikaikan disebabkan status kewangannya yang terkemuka di Asia Pasifik, katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >