Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kekalkan ramalan pertumbuhan ekon 2025 antara 0% dengan 2%

Prospek permintaan luar bertambah baik sedikit berikutan penangguhan tarif AS
May 22, 2025 | 7:18 PM
ekonomi, singapura, tidak menentu
Pemerintah tidak menolak kemungkinan Singapura mengalami kemelesetan teknikal, memandangkan prospek ekonomi sejagat yang masih tidak menentu. - Foto ST

Pemerintah mengekalkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2025 pada julat sifar hingga 2 peratus.

Ini walaupun pemerintah menyatakan bahawa prospek permintaan luar untuk baki 2025 telah “bertambah baik sedikit”, memandangkan langkah penangguhan tarif yang telah mengurangkan ketegangan perdagangan sejagat.

“Walaupun ini satu perkembangan positif, prospek ekonomi sejagat masih diselubungi keadaan tidak menentu yang ketara, dengan risiko yang cenderung kepada kelembapan (ekonomi),” kata Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Dr Beh Swan Gin.

Beliau berkata demikian berikutan penerbitan laporan tinjauan ekonomi suku tahunan terkini pada 22 Mei.

Ekonomi Singapura berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2025 berbanding suku pertama 2024, tinggi sedikit daripada anggaran awal 3.8 peratus yang dibuat pada April.

Namun, ia lebih rendah daripada pertumbuhan 5 peratus yang dicatat pada suku keempat 2024.

Bagi suku ke suku setelah diselaraskan secara musiman, ekonomi Singapura menguncup 0.6 peratus.

Ini berbeza daripada pertumbuhan 0.5 peratus pada suku keempat 2024, lapor The Straits Times (ST).

Pertumbuhan suku pertama 2025 didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, pengilangan dan kewangan serta insurans, yang sebahagiannya disokong oleh pesanan awal bagi barangan eksport oleh pelanggan, yang mengambil peluang sebelum kadar tarif lebih tinggi dikenakan Amerika Syarikat.

Namun, sektor penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman mencatat kemerosotan.

MTI menyatakan bahawa ia mengekalkan ramalan bagi April selepas mengambil kira prestasi ekonomi pada suku pertama dan ketegangan perdagangan sejagat yang berkurangan, khususnya, antara Amerika dengan China.

Pada April, MTI menetapkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi 2025 antara 1 dengan 3 peratus, menyusuli tarif menyeluruh yang diumumkan Amerika dan pelaksanaan tarif balas oleh kededua Amerika dan China.

Sejak itu, ketegangan semakin reda, dengan Amerika dan China bersetuju mengurangkan kadar tarif yang dikenakan terhadap satu sama lain selama 90 hari, sedang rundingan diadakan untuk mencapai satu perjanjian perdagangan.

Akibat perkembangan itu, MTI menilai bahawa prospek permintaan luar Singapura untuk baki tahun ini (2025) bertambah baik sedikit berbanding April.

Namun, Dr Beh berkata Singapura masih menghadapi risiko yang cenderung ke arah kelembapan ekonomi.

Ini termasuk risiko kemerosotan kegiatan ekonomi yang lebih besar daripada jangkaan, kemungkinan ketegangan perdagangan meningkat semula sehingga mencetuskan perang perdagangan sepenuhnya, serta risiko kemelesetan ekonomi yang boleh menyebabkan aliran modal yang tidak stabil.

Beliau tidak menolak kemungkinan Singapura mengalami kemelesetan teknikal, iaitu, pertumbuhan negatif selama dua suku berturut-turut.

Namun, beliau berkata ini tidak sama dengan kemelesetan ekonomi sepenuhnya yang diukur berdasarkan prestasi tahunan, berbanding tahun sebelumnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg