Singapura dan Kesatuan Eropah (EU) memeterai satu perjanjian perdagangan digital pada 7 Mei, yang bertujuan memberikan kejelasan serta kepastian undang-undang yang lebih besar kepada pengguna dan perniagaan di kededua pihak bagi urus niaga dalam talian yang lebih lancar.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan Pesuruhjaya EU bagi Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi, Encik Maros Sefcovic, telah menandatagani Perjanjian Perdagangan digital EU-Singapura (EUSDTA) di bangunan The Treasury, yang terletak di High Street.
Perjanjian itu melengkapi Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Singapura (EUSFTA) yang berkuat kuasa sejak 2019.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dalam satu kenyataan pada 7 Mei, berkata:
“Apabila dilaksanakan, ia akan memberikan kejelasan dan kepastian undang-undang yang lebih besar untuk rakyat dan perniagaan dengan meletakkan peraturan untuk perdagangan digital dan aliran data rentas sempadan.”
EUSDTA bertujuan menetapkan piawaian global bagi perdagangan digital dan aliran data rentas sempadan tanpa halangan yang tidak wajar.
Ia, antara lain, merangkumi peraturan mengenai tanda tangan elektronik, spam dan keselamatan siber.
Perjanjian tersebut juga dijangka dapat mengurangkan kos bagi perniagaan, sekali gus merangsang perdagangan perkhidmatan.
EU merupakan rakan perdagangan barangan kelima terbesar Singapura.
Pada 2024, perdagangan dua hala dalam barangan meningkat melebihi $100 bilion, merangkumi 7.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan barangan Singapura.
Ia juga merupakan rakan perdagangan perkhidmatan kedua terbesar Singapura, dengan perdagangan dua hala dalam perkhidmatan mencecah lebih $110 bilion pada 2023.
Hubungan pelaburan kekal kukuh, dengan EU sebagai pelabur asing kedua terbesar Singapura dan destinasi pelaburan luar negara kedua terbesar.
Singapura pula merupakan rakan perdagangan kelima terbesar EU dalam sektor perkhidmatan, dengan lebih separuh daripada perkhidmatan tersebut disampaikan secara digital.
Menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu langkah penting, Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan, berkata:
“Dalam masa yang tidak menentu dan mencabar ini, pemeteraian EUSDTA adalah langkah penting ke hadapan dalam memperdalam kerjasama ekonomi digital antara Singapura dan EU.”
Perjanjian EUSDTA merupakan perjanjian ekonomi digital dua hala pertama EU dengan negara Asean, tambah beliau, yang akan menyokong ketersambungan digital dari rantau ke rantau yang lebih besar.
Dalam pada itu, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen kededua negara dalam “memupuk ekonomi digital yang dipercayai, selamat dan terangkum, serta mewujudkan peluang baru bagi syarikat dan rakyat dalam perdagangan digital”.
Cik Fu turut menekankan bahawa perdagangan digital telah menjadi tonggak utama dalam hubungan ekonomi Singapura dan EU.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg