Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar sistem urus niaga emas dagangan langsung jelang akhir 2026
S’pura lancar sistem urus niaga emas dagangan langsung jelang akhir 2026
Sistem pertama bakal perkemas perdagangan jongkong besar, kilobar dalam usaha perkukuh kedudukan negara sebagai Hab Emas Asia
S’pura lancar sistem urus niaga emas dagangan langsung jelang akhir 2026
Sebuah sistem bagi memudahkan urus niaga emas yang didagangkan secara langsung, atau ‘over the counter’ (OTC), akan dilancarkan menjelang hujung 2026, dengan perdagangan antara bank dijangkakan mulai 2027.
Ini dilakukan bagi memperkemas proses perdagangan, meningkatkan ketelusan dan membuat proses urus niaga lebih cekap, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Sistem memudahkan urus niaga OTC merujuk kepada rakaman, penjaringan dan penyelesaian dagangan pada sistem lejar (rekod kewangan).
Ketika berucap pada edisi kesembilan Persidangan Logam Berharga Asia Pasifik, anjuran Persatuan Pasaran Jongkong Emas Singapura (SBMA), di Hotel Shangri-La pada 15 Jun, Encik Gan berkata sistem itu akan menyokong urus niaga jongkong besar, atau large bar, dan jongkong sekilo, atau kilobar.
Ia sekali gus membolehkan penyelesaian urus niaga yang diseragamkan semasa waktu dagangan Asia, ujarnya.
Jongkong besar merujuk kepada jongkong emas 400-auns troy (unit untuk menimbang berat emas), atau sekitar 12.4 kilogram, yang digunakan sebagai piawaian bagi perdagangan institusi dan urus niaga di London.
Kilobar, atau jongkong emas seberat satu kilogram, pula adalah piawaian yang lebih digunakan dalam pasaran Asia dan diterima pakai untuk kontrak niaga hadapan emas, atau gold futures contract, bagi Bursa Komoditi di Amerika Syarikat.
Encik Gan, yang juga Pengerusi Lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berkata:
“Ini merupakan asas bagi prasarana pasaran.
“Dengan memperkemas pemprosesan perdagangan, meningkatkan ketelusan dan menyokong proses urus niaga lebih cekap, ini akan memberikan peserta pasaran keyakinan lebih tinggi untuk berurus niaga di Singapura.”
Sistem ini merupakan yang pertama seumpamanya di Singapura dan antara beberapa inisiatif yang dibentangkan Encik Gan dalam ucapannya.
Ini sedang Singapura menggiatkan usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai nod sejagat, yang dipercayai bagi aliran modal, pelaburan dan perdagangan fizikal.
Inisiatif sedemikian menyusuli rancangan yang diumumkan MAS dan SBMA pada Mac.
Sebagai permulaan, satu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Bursa Singapura (SGX) dengan enam bank jongkong – merangkumi DBS, Deutsche Bank, ICBC Standard Bank, JPMorgan, OCBC dan UOB – telah dimeterai pada persidangan itu.
Keenam-enam bank ini berperanan memudahkan urus niaga emas dan membangunkan pasaran emas tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Group, Encik Tan Teck Long, yang merupakan salah seorang wakil yang menandatangani MOU tersebut, berkata inisiatif ini mengukuhkan lagi peranan Singapura sebagai peneraju pasaran emas Asia Pasifik.
Seorang lagi penandatangan MOU itu, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Encik Wee Ee Cheong, berkata usahasama ini “mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab emas yang dipercayai, berlandaskan prasarana, tadbir urus kukuh dan piawaian jelas”.
Sehubungan itu, Encik Gan berkata perdagangan emas, kecairan dan penemuan harga, atau ‘price discovery’, kekal tertumpu di pusat kewangan sejagat yang mantap seperti London di Britain, dan New York di Amerika Syarikat.
Ia mewujudkan satu jurang bagi zon waktu Asia, memandangkan peserta pasaran mencari cara lebih cekap untuk mengakses kecairan, mengurus risiko dan menyelesaikan transaksi semasa waktu dagangan Asia.
Ini lebih-lebih lagi dengan rantau Asia menyumbang sekitar 70 peratus daripada permintaan emas pengguna secara tahunan dan merupakan pemacu utama aliran penggunaan dan pelaburan.
“Kami tidak ingin menggantikan pusat perdagangan dan kecairan emas yang mantap.
“Sebaliknya, Singapura boleh berfungsi sebagai nod yang dipercayai dalam ekosistem emas sejagat – menghubungkan permintaan serantau dengan kecairan sejagat dan menyokong kegiatan pasaran semasa waktu dagangan Asia,” katanya.
Sementara itu, Encik Gan turut mengumumkan bank pusat asing dan entiti berdaulat boleh menyimpan rizab emas dengan MAS mulai Oktober.
Ini dilakukan sedang negara ini mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau untuk perdagangan dan penyimpanan emas.
Langkah tersebut akan melengkapi kapasiti penyimpanan komersial Singapura, yang buat masa ini melebihi 2,000 tan, ujarnya, sambil menambah ia dijangka memanfaatkan bank jongkong, pelabur institusi dan individu bernilai tinggi, antara lain.
Selain penyimpanan emas, beberapa bank pusat asing dan entiti berdaulat juga mungkin berminat untuk mengurus pegangan emas mereka secara aktif.
Oleh itu, MAS akan memperluas akaun emas kepada sekumpulan bank jongkong terpilih yang berpangkalan di Singapura, katanya.
Ini sekali gus membolehkan bank ini, ujar Encik Gan, untuk menyediakan perkhidmatan dan kecairan berkaitan emas kepada entiti berdaulat sedemikian dengan lebih baik.
MAS tidak menamakan bank-bank ini.
Encik Gan berkata:
“Ini mengukuhkan usul Singapura sebagai bidang kuasa di mana aset rizab boleh disimpan dengan selamat, diuruskan secara aktif dan dihubungkan kepada kecairan pasaran yang lebih luas semasa waktu dagangan Asia.”
Beliau menambah pemerintah sedang meningkatkan usaha untuk menyelaras amalan pasaran Singapura dengan piawaian sejagat yang berkaitan.
Ini termasuk piawaian di bawah rangka kerja Good Delivery Persatuan Pasaran Jongkong Emas London (LBMA) – penanda aras sejagat untuk mutu dan keaslian jongkong emas besar.
Ini selain piawaian urus niaga yang diguna pakai bursa utama seperti Bursa Dagangan Chicago dan Bursa Emas Shanghai untuk jongkong kilobar.
Encik Gan berkata:
“Penjajaran sedemikian akan mengurangkan kekangan bagi peserta yang beroperasi merentasi pasaran, sambil mengekalkan kelenturan menampung perbezaan dalam struktur pasaran.
“Bank dan perantara pasaran juga memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang bagi pasaran ini melalui produk dan perkhidmatan, membolehkan peserta berurus niaga dengan cekap merentasi lokasi dan jenis jongkong.
“
“Dengan memperkemas pemprosesan perdagangan, meningkatkan ketelusan dan menyokong proses urus niaga lebih cekap, ini akan memberikan peserta pasaran keyakinan lebih tinggi untuk berurus niaga di Singapura.”