Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura pertingkat sokongan bantu syarikat pemula tukar inovasi jadi niaga
See Leng: Matlamat adalah untuk komersialkan teknologi dari S’pura, perluas ke pasaran dunia
S’pura pertingkat sokongan bantu syarikat pemula tukar inovasi jadi niaga
Membangunkan teknologi yang baharu ditemui hanyalah langkah pertama bagi syarikat pemula.
Namun cabaran yang lebih besar adalah membuktikan keupayaannya di dunia nyata, mendapatkan pelanggan pertama, serta membina perniagaan yang berdaya maju, kata Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng.
Perkara ini khususnya lebih sukar bagi syarikat teknologi iklim dan tenaga, yang lazimnya memerlukan modal besar, ujian rapi, serta rakan industri yang bersedia menerima dan menggunakan penyelesaian baharu sebelum ia meraih kejayaan komersial.
Singapura sedang memperkukuh perkongsian strategik bagi membantu syarikat pemula mengharungi cabaran ini dan berkembang ke luar negara, kata Dr Tan dalam ucapannya di Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura (Switch), yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 28 Oktober.
Switch merupakan acara tahunan inovasi dan teknologi yang menghimpunkan syarikat pemula, pelabur, penyelidik, serta peneraju industri dari seluruh dunia, dengan edisi tahun ini berlangsung dari 27 hingga 29 Oktober.
“Tiada syarikat pemula yang mampu mengharungi perjalanan ini sendirian.
“Ia memerlukan penyelidik untuk meneroka sempadan baharu, pelabur untuk menyokong idea baharu dan rakan industri untuk menguji, menerima dan menggunakan serta memperluas penyelesaian berkenaan,” kata Dr Tan.
Dr Tan menambah matlamatnya bukan sekadar membangunkan teknologi di Singapura, malah menterjemahkannya kepada penyelesaian yang berdaya maju secara komersial dan meluaskannya ke peringkat dunia.
Beliau menggariskan tiga bidang tumpuan utama – membangun dan mengesahkan teknologi, menghubungkan syarikat pemula dengan pelanggan korporat, serta membantu mereka mengakses pasaran antarabangsa.
Dr Tan mengetengahkan syarikat berpangkalan di Singapura, CRecTech – yang menukar biogas kepada biometanol bagi sektor perkapalan – sebagai contoh bagaimana perkongsian industri dapat membantu membawa teknologi ke pasaran.
Syarikat itu menyertai kumpulan sulung Asia Tenggara bagi program Felow Breakthrough Energy pada 2024.
Sejak itu, ia telah memperkukuh pemahamannya mengenai keperluan pelanggan dan merangka strategi lebih jelas untuk mengkomersialkan teknologinya, jelasnya.
Pada Ogos, CRecTech menandatangani perjanjian dengan firma Indonesia, Pertamina New & Renewable Energy (NRE), untuk bersama-sama membangunkan loji demonstrasi biogas kepada biometanol yang pertama di Indonesia, bertempat di Sumatera.
Dilancarkan pada 2024 sebagai hab Felow Breakthrough Energy pertama di luar Amerika Syarikat, program tersebut telah membiayai 12 syarikat dari Singapura, Malaysia dan Thailand.
Peserta program berkenaan menerima dana sehingga AS$500,000 ($641,190), di samping sokongan teknikal dan komersial serta akses kepada rangkaian rakan industri, pembimbing, pelabur dan pakar.
Program felow serantau berkenaan ditubuhkan oleh Breakthrough Energy, organisasi iklim yang diasaskan oleh jutawan Encik Bill Gates, bersama Temasek dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Pada 28 Oktober, mereka mengumumkan pembaharuan sokongan terhadap program itu bagi tempoh tiga tahun lagi, merangkumi tiga kumpulan baharu dari 2028 hingga 2030.
Rakan korporat baharu, termasuk Olam Agri, Pertamina NRE, dan ExpresSo NB – cabang usaha niaga kumpulan tenaga Thailand, PTT – akan memberi peserta program lebih banyak akses kepada kepakaran industri serta peluang menguji dan menggunakan teknologi mereka di seluruh Asia Tenggara.
Pengasas bersama merangkap ketua eksekutif CRecTech, Dr Kang Hui Lim, berkata:
“Program Felow BE (Breakthrough Energy) telah membantu kami mempercepat pembangunan teknologi kami menerusi pencapaian sasaran yang jelas, mengukur potensi impak ekonomi serta alam sekitar, dan menguji kesahihan andaian kami mengenai keperluan pelanggan serta daya maju komersial.”
“Asas kukuh ini membolehkan kami bekerjasama dengan pemain industri seperti Pertamina NRE dari Indonesia bagi membawa teknologi bio-metanol kami dari makmal ke kemudahan perintis pertama seumpamanya untuk ujian dan pengesahan di dunia nyata,” tambahnya.