S’pura semak naik ramalan GDP 2026; ekon 2025 tumbuh 5%

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura semak naik ramalan GDP 2026; ekon 2025 tumbuh 5%

Feb 10, 2026 | 9:53 AM

S’pura semak naik ramalan GDP 2026; ekon 2025 tumbuh 5%

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura dinaikkan kepada antara 2 peratus dengan 4 peratus bagi 2026 menyusuli prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku keempat 2025.
Ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura dinaikkan kepada antara 2 peratus dengan 4 peratus bagi 2026 menyusuli prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku keempat 2025. - Foto ST

Singapura menyemak semula ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2026 kepada antara 2 peratus dengan 4 peratus didorong prestasi ekonomi suku keempat 2025 yang melebihi jangkaan.

Angka Ini lebih tinggi berbanding ramalan awal 1 hingga 3 peratus, umum Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 10 Februari.

Ekonomi Singapura tumbuh 5 peratus bagi keseluruhan 2025, mengatasi anggaran awal 4.8 peratus.

Namun, prestasi tahun lalu sedikit perlahan berbanding kadar pertumbuhan 5.3 peratus yang dicatatkan pada 2024.

Semakan dibuat selepas ekonomi tumbuh 6.9 peratus secara tahunan pada suku keempat 2025 – melepasi anggaran awal 5.3 peratus dan pertumbuhan 4.6 peratus pada suku ketiga.

Data MTI menunjukkan berdasarkan pelarasan musiman suku ke suku, ekonomi tumbuh 2.1 peratus pada suku keempat 2025, sedikit menurun berbanding 2.6 peratus pada suku ketiga.

Dalam taklimat media 10 Februari, Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perdagangan) MTI, Encik Augustin Lee, berkata lonjakan permintaan barangan elektronik AI dan peningkatan luar jangkaan pengeluaran bahan farmaseutikal aktif (API) bernilai tinggi telah mendorong pertumbuhan ekonomi 2025 yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“Lonjakan permintaan bagi barangan elektronik berkaitan AI pada akhir tahun melebihi unjuran awal, menyebabkan pertumbuhan teguh dalam sektor elektronik serta segmen peralatan jentera dan bekalan dalam perdagangan borong.

“Kedua, peningkatan besar luar jangkaan dalam pengeluaran API bernilai tinggi pada penghujung 2025 telah merangsang pertumbuhan kluster pembuatan bioperubatan,” jelas beliau.

Sementara itu, sektor kewangan dan insurans menyaksikan pertumbuhan meluas merentasi semua segmen, disokong oleh keadaan kewangan yang sebahagian besarnya akomodatif (kadar faedah rendah, akses kredit mudah, bekalan wang mencukupi).

Sebaliknya, sektor khidmat makanan dan minuman (F&B) menguncup, sebahagiannya kerana penurunan jualan restoran akibat perubahan pilihan gaya pemakanan pelanggan.

Menyentuh ramalan ekonomi 2026 yang diumumkan pada November 2025, Encik Lee berkata ia dibuat berdasarkan jangkaan penyederhanaan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dalam ekonomi utama akibat tarif Amerika Syarikat.

Sejak itu, ekonomi global telah mempamerkan prestasi luar jangkaan, dengan kebanyakan ekonomi utama mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh daripada apa yang diramalkan pada suku keempat 2025.

“Khususnya, perdagangan global kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan tarif Amerika Syarikat, kemungkinan disebabkan oleh faktor-faktor seperti lencongan perdagangan dan lonjakan pelaburan dalam AI.

“Rentak pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku terakhir 2025 itu dijangka akan berlarutan hingga ke 2026,” kata beliau.

Selain lonjakan pelaburan dalam AI, yang dijangka berterusan pada 2026, dasar kewangan yang mengembang di beberapa ekonomi seperti Amerika, Jerman dan Jepun, serta keadaan kewangan global yang akomodatif, juga dijangka akan menyokong pertumbuhan global bagi suku-suku tahun mendatang.

Mengambil kira faktor tersebut, prospek pertumbuhan GDP bagi rakan dagang utama Singapura untuk 2026 telah bertambah baik berbanding prospek pada November 2025, kata MTI.

Bagaimanapun, MTI menjangkakan kadar pertumbuhan kebanyakan ekonomi ini masih akan perlahan berbanding 2025.

Ini “sebahagiannya disebabkan kesan setahun penuh tarif Amerika Syarikat serta peningkatan halangan perdagangan yang akan menjejas perdagangan global bukan berkaitan AI”.

Pertumbuhan GDP di Amerika dijangka “stabil secara meluas” pada 2026, disokong oleh pelaburan berkaitan AI yang teguh serta Akta ‘One Big Beautiful Bill’ oleh Presiden Donald Trump.

Sebaliknya, pertumbuhan GDP di zon Euro dijangka melemah akibat eksport dan kegiatan perindustrian yang hambar.

Sementara itu, di Asia pula, pertumbuhan China dijangka menyederhana, manakala ekonomi utama Asia Tenggara dijangka mencatatkan pertumbuhan yang disokong kegiatan penggunaan (consumption) dan pelaburan.

MTI berkata prospek ekonomi global tertakluk kepada risiko positif dan negatif.

Lonjakan dalam kitaran pelaburan AI yang lebih kukuh daripada unjuran boleh merangsang permintaan elektronik dan memberi kesan positif kepada perdagangan global, selain memacu keuntungan pasaran ekuiti yang dapat meningkatkan penggunaan global.

Namun, ketegangan geopolitik atau tindakan tarif yang kembali memuncak boleh mencetuskan semula ketidakpastian ekonomi, yang seterusnya boleh menjejas pelaburan perniagaan dan perbelanjaan isi rumah.

Selain itu, peningkatan sentimen mengelak risiko (risk-off) atau pengurangan mendadak dalam perbelanjaan modal global berkaitan AI boleh mencetuskan pembetulan mendadak dalam pasaran kewangan global, yang berpotensi melimpah kepada kegiatan ekonomi yang lebih luas.

Berlatarkan perkembangan ini, prospek pertumbuhan 2026 bagi sektor perkilangan dan khidmat berkaitan perdagangan di Singapura telah bertambah baik sejak November 2025, kata MTI.

Dalam sektor perkilangan, kelompok elektronik diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih kukuh daripada jangkaan awal, disokong oleh permintaan kukuh bagi cip semikonduktor dalam pasaran akhir pusat data ekoran lonjakan pelaburan AI.

Dalam kejuruteraan pengangkutan, tempahan yang kukuh dalam segmen aeroangkasa serta kejuruteraan marin dan luar pantai dijangka terus memacu pertumbuhan.

Sementara itu, sektor perkhidmatan utama yang berorientasikan eksport juga diunjurkan mencatatkan pertumbuhan yang sihat.

Khususnya, sektor infokom akan disokong oleh permintaan perusahaan yang berterusan bagi huraian digital dan berasaskan AI, manakala sektor kewangan dan insurans akan diperkukuh oleh keadaan makroekonomi dan kewangan yang menyokong.

Bagi sektor berorientasikan domestik pula, sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar yang stabil hasil daripada pengembangan dalam kerja-kerja bangunan kediaman awam dan kejuruteraan sivil.

Dalam pada itu, pelancaran kediaman privet baru akan menyokong kegiatan pemaju dalam sektor hartanah.

Sebaliknya, prestasi sektor yang berdepan dengan pengguna, seperti perdagangan runcit dan khidmat F&B, berkemungkinan kekal hambar.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh penduduk tempatan yang beralih kepada perbelanjaan di luar negara serta perubahan dalam pilihan gaya pemakanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg