Usaha menyemak strategi ekonomi negara adalah “langkah penting pada masa ini” agar Singapura dapat terus kekal relevan di tengah-tengah ketidaktentuan landskap ekonomi sejagat, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Jawatankuasa semakan juga akan menyemak strategi sedia ada dan mengesyorkan strategi baru bagi memastikan Singapura mampu kekal berdaya saing di persada dunia dalam jangka masa lebih panjang, di samping membuka peluang lebih baik untuk perniagaan dan pekerja.
“Adalah penting bagi kita untuk melihat semula strategi kita terlebih dahulu, untuk melihat sama ada beberapa strategi yang kita ada pada masa lalu akan kekal relevan.
“Sama ada kita perlu mengubahnya, atau sama ada kita perlu mempunyai strategi baru untuk membawa Singapura ke hadapan, agar dapat mencipta peluang untuk perniagaan dan pekerja kita.
“Ini adalah sesuatu yang sangat penting pada masa ini untuk kita menyemak semula strategi ekonomi, untuk menentukan hala tuju ke hadapan memandangkan perubahan yang terjadi dalam persekitaran kita,” kata Encik Gan semasa sidang media pada 4 Ogos.
Encik Gan berkata semakan itu adalah sebahagian daripada kerja Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang diketuainya.
Pasukan petugas itu dibentuk pada April bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi sejagat yang didorong oleh tarif yang menambah kesan ekonomi daripada ketegangan geopolitik dan gangguan teknologi.
Singapura sedang menghadapi masa depan yang sangat mencabar dan tidak menentu, bukan sahaja disebabkan oleh kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, malah juga ketidaktentuan yang telah diwujudkan oleh tarif tersebut dalam landskap ekonomi sejagat, kata Encik Gan.
Beliau berkata tarif itu telah menjejas sistem perdagangan sejagat yang berasaskan peraturan, sesuatu yang menjadi pergantungan Singapura bagi pertumbuhan dan pembangunannya.
Lantas, negara ini kini perlu mencari jalan ke hadapan untuk terus mengembangkan ekonominya.
Berkongsi maklumat terkini mengenai perbincangan dengan Amerika mengenai tarif 10 peratus yang dikenakan pada Singapura, Encik Gan berkata pemerintah berhasrat untuk terus berbincang dengan Amerika tentang perkara itu.
Pihak berkuasa juga pada masa ini sedang berbincang untuk menyusun aturan praktikal bagi membolehkan Singapura terus mengakses pasaran Amerika, yang akan melibatkan tarif konsesi ke atas eksport Singapura ke Amerika, tambahnya.
Encik Gan berkata beliau tidak boleh berkongsi butiran lanjut kerana perbincangan sedang dijalankan.
Ditanya sama ada cadangan daripada semakan terbaru itu akan dibina berdasarkan kerja jawatankuasa sebelumnya, seperti Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan 2016 dan Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh (EST) 2020, Encik Gan berkata cabaran hari ini adalah “sangat berbeza”.
Beliau berkata rejim baru struktur tarif ini bermakna terdapat cabaran kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang menjadi pergantungan Singapura selama beberapa dekad ini.
Encik Gan menambah India dan China juga masih merundingkan tarif mereka dan tidak diketahui bagaimana mereka akan bertindak balas, sama ada mereka akan menyusun semula pangkalan pengeluaran atau rantaian bekalan mereka.
“Terdapat banyak perkara yang tidak diketahui akan berlaku tetapi pada masa yang sama, walaupun ini adalah cabaran, terdapat juga peluang dan kemungkinan,” katanya.
Sebanyak lima jawatankuasa baru akan mengeluarkan laporan dengan cadangan, menjelang pertengahan 2026, selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha perniagaan, pekerja dan pihak berkepentingan lain, untuk mendapatkan maklum balas dan idea dalam beberapa bulan akan datang.
Jawatankuasa pertama memberi tumpuan kepada daya saing sejagat Singapura, manakala jawatankuasa kedua akan melihat bagaimana untuk memanfaatkan teknologi dan inovasi, seperti kecerdasan buatan (AI), untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing.
Jawatankuasa ketiga meliputi keusahawanan, khususnya ekosistem pemula atau start-up di Singapura, manakala jawatankuasa keempat pula akan meneroka cara memperkasa pekerja dengan kemahiran yang relevan sambil menggalakkan mobiliti dan daya tahan kerjaya.
Jawatankuasa kelima akan menyemak bagaimana Singapura dapat mengurus kesan penyusunan semula ekonomi ke atas perniagaan dan pekerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg