Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 10 November melancarkan perkhidmatan penyimpanan emas yang membolehkan bank pusat asing, institusi kewangan antarabangsa dan entiti kedaulatan menyimpan rizab emas mereka di negara ini.

Emas itu akan disimpan di bilik kebal mata wang negara MAS.

Buat masa ini, bilik kebal itu boleh menampung sehingga 500 tan emas dan ruangnya boleh diperluas apabila permintaan meningkat.

Perkhidmatan itu akan melengkapi kapasiti penyimpanan komersial Singapura yang melebihi 2,000 tan.

Kapasiti itu digunakan oleh pemain pasaran seperti bank jongkong emas, pelabur institusi dan individu berpendapatan tinggi.

“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, permintaan terhadap emas semakin meningkat apabila pelabur dan bank pusat melihatnya sebagai aset yang lebih stabil serta membantu mempelbagaikan pelaburan,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap pengerusi MAS, Encik Gan Kim Yong.

Beliau mengumumkan perkhidmatan penyimpanan emas itu buat kali pertama pada Jun.

Ketika bercakap kepada media di Bangunan MAS pada 10 November, Encik Gan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata beberapa bank pusat asing sudah menyatakan minat terhadap perkhidmatan itu.

Namun, beliau tidak menamakan institusi berkenaan kerana perbincangan masih sulit.

Apabila ditanya apakah yang membezakan Singapura daripada Hong Kong, yang turut mempergiat inisiatif berkaitan pasaran emas, beliau berkata:

“Apa yang Singapura lakukan adalah menawarkan satu lagi pilihan kepada bank pusat yang mahu mencari lokasi alternatif untuk menyimpan rizab emas mereka.

“Singapura sentiasa menjadi hab kewangan, dan kita telah membina kredibiliti yang sangat kukuh dalam kalangan institusi kewangan serta bank pusat lain.

“Saya rasa kita berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memenuhi keperluan bank pusat ini dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka.”

Tanpa mendedahkan nama bank terbabit, MAS berkata kemudahan penyimpanan emas itu akan ditawarkan kepada beberapa bank jongkong emas terpilih di Singapura. 

Bank tersebut mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan emas serta memudahkan urusan jual beli emas untuk bank pusat asing, institusi kewangan antarabangsa dan badan pemerintah negara lain. 

Perkhidmatan itu dijangka menyokong kegiatan pasaran pada waktu Asia, kerana perdagangan emas, kecairan dan penemuan harga ketika ini tertumpu di pusat perdagangan dunia seperti London dan New York.

MAS berkata ujian industri bagi sistem penjelasan dagangan emas secara langsung, atau over the counter (OTC), oleh Bursa Singapura (SGX) telah selesai.

Peraturan bagi sistem itu dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

Enam bank iaitu DBS, Deutsche Bank, ICBC Standard Bank, JPMorgan, OCBC dan UOB telah dipilih untuk membantu mengendalikan sistem tersebut serta membangunkan pasaran emas tempatan.

SGX dan bank-bank itu sedang bekerjasama untuk menyiapkan persediaan sistem tersebut menjelang akhir 2026.

Perdagangan langsung dan operasi pasaran dijangka bermula pada suku pertama 2027, tambah MAS.

Sistem penjelasan itu akan menyokong dagangan OTC bagi jongkong emas bersaiz besar dan jongkong emas seberat satu kilogram.

Jongkong emas bersaiz besar merujuk kepada jongkong seberat 400 auns Troy, atau kira-kira 12.4 kilogram, iaitu saiz standard yang digunakan dalam urus niaga dan penyelesaian emas antara institusi di London.