Seorang lelaki berusia 65 tahun mengeluarkan semua wang simpanannya daripada akaun bank pada petang 19 Jun.
Dengan wang itu, beliau pergi ke dua kedai pajak gadai dan membeli jongkong emas bernilai $52,700.
Mengikut arahan yang diterimanya, beliau kemudian pergi ke stesen MRT Pasir Ris dan menyerahkan jongkong emas tersebut kepada seorang wanita yang langsung tidak dikenalinya.
“Wanita itu hanya mengambil bungkusan tersebut dan terus beredar tanpa mengucapkan sepatah kata pun,” kata Encik Sng, yang enggan mendedahkan nama penuhnya.
Apabila beliau pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada isterinya, reaksi isterinya amat mengejutkannya.
“Itu satu penipuan,” kata isterinya serta-merta.
Encik Sng, seorang teknisyen yang bersara dua minggu kemudian pada awal Julai, menyangka beliau sedang membantu pegawai Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu siasatan jenayah.
Namun, beliau sebenarnya telah diperdaya dan menjadi mangsa satu penipuan yang dirancang dengan licik.
Penipuan itu bermula pada petang 19 Jun ketika Encik Sng sedang bekerja.
Tiba-tiba, beliau menerima satu panggilan telefon.
Dalam perbualan berbahasa Inggeris itu, pemanggil tersebut memperkenalkan dirinya sebagai wakil syarikat khidmat kewangan, UnionPay, dan mendakwa Encik Sng baru sahaja mendaftar bagi sebuah pelan insurans baru.
Encik Sng berasa hairan. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah mendaftar bagi sebarang pelan insurans.
“Saya kata, itu mesti satu kesilapan,” ujarnya.
‘Wakil’ UnionPay itu kemudian bersetuju membatalkan pelan tersebut, tetapi berkata maklumat peribadi Encik Sng mungkin telah disalah guna.
Dengan nada yang kedengaran prihatin, pemanggil itu menawarkan untuk merujuk Encik Sng kepada seorang ‘pegawai’ MAS bagi membantu menyiasat perkara tersebut.
Dari saat itulah, keadaan mula berubah.
Sepanjang panggilan telefon yang berlangsung selama tiga jam itu, dua individu yang menyamar sebagai ‘pegawai MAS’ memberitahu Encik Sng maklumat peribadinya telah digunakan untuk membeli pelan insurans tersebut.
Menurut mereka, transaksi mencurigakan itu mungkin berkaitan dengan kegiatan pengubahan wang haram.
“Mereka menjelaskan semuanya kepada saya dengan nada yang sangat tenang dan meyakinkan,” singkap Encik Sng.
Dengan dakwaan kononnya mahu membersihkan nama beliau, mereka memberi arahan jelas.
Mereka meminta Encik Sng mengeluarkan semua wang daripada akaun banknya, menukarkannya kepada jongkong emas, dan menyerahkannya untuk “disimpan dengan selamat”.
Tanpa menyedari penipuan yang sedang berlaku, Encik Sng akur dengan arahan itu.
Beliau akhirnya menjadi mangsa satu lagi kes penipuan berkaitan penyamaran pegawai agensi pemerintah.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), sekurang-kurangnya 80 kes penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah dilaporkan pada Jun 2025 sahaja.
Jumlah kerugian yang dialami mangsa melebihi $6.7 juta.
Sebelum ini, dalam satu versi penipuan lebih awal, mangsa biasanya diarah memindahkan wang ke dalam sebuah “akaun bank keselamatan” atas alasan siasatan.
Namun, taktik itu kini telah berubah dengan pendekatan lebih licik dan meyakinkan.
Dalam kes terkini, penipu bukan sahaja menyamar sebagai pegawai pemerintah, malah turut berpura-pura menjadi wakil penyedia perkhidmatan seperti ejen insurans.
Mereka turut mengatur kutipan wang tunai atau jongkong emas secara fizikal terus daripada mangsa.
“Penipu seperti ini mengambil kesempatan daripada kepercayaan masyarakat serta kecenderungan kita untuk menurut arahan pihak berkuasa,” jelas Timbalan Pengarah, Pejabat Pendidikan Awam mengenai Penipuan di SPF, Encik Jeffery Chin.
“Mereka melemahkan keupayaan kita untuk membuat pertimbangan wajar dengan menimbulkan ketakutan dan mendesak agar tindakan diambil dengan segera.”
Menurut beliau, sesetengah penipu menampilkan diri dengan nada ikhlas, kononnya mahu membantu mangsa menyelesaikan masalah yang kononnya sedang disiasat.
Bagi menambahkan lagi unsur kepercayaan, mereka mungkin menyebut butiran peribadi seperti nama penuh atau nombor kad pengenalan (NRIC) mangsa yang diperoleh secara haram.
Namun, Penolong Pengarah, Pejabat Pendidikan Awam mengenai Penipuan di SPF, Superintenden Polis Matthew Choo, menegaskan:
“Usah mudah terpedaya hanya kerana seseorang mengetahui maklumat peribadi anda.”
Beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan menyerahkan wang atau barang berharga kepada individu tidak dikenali, atau meninggalkannya di lokasi tertentu untuk diambil oleh orang lain.
Kisah Encik Sng menjadi satu peringatan nyata tentang betapa penipuan boleh berlaku walaupun ke atas mereka yang berhati-hati.
“Saya seperti bingung,” kata Encik Sng ketika mengenang kembali saat beliau sedar dirinya telah ditipu
“Kenapa saya begitu mudah percaya cerita mereka tentang siasatan MAS? Saya bukan tamak, saya hanya ingin membantu pihak berkuasa.”
Setelah menyedari kebenarannya, Encik Sng bertindak pantas dan membuat laporan polis pada malam yang sama.
“Nasib baik saya bertindak segera,” katanya.
Tindakan pantas itu membuahkan hasil.
Wanita yang menerima jongkong emas daripada Encik Sng berjaya ditangkap di pusat pemeriksaan Koswe esoknya, ketika dia cuba meninggalkan Singapura.
Kira-kira seminggu kemudian, polis memanggil Encik Sng untuk membuat pengecaman ke atas wanita tersebut.
Dalam satu perkembangan yang jarang berlaku bagi kes penipuan sebegini, wang Encik Sng berjaya dipulangkan sepenuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg