Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Stablecoin pertama disokong dolar S’pura akan dilancar di Coinbase pada 30 Sep

Sep 25, 2025 | 4:03 PM
Stablecoin, XSGD, mata wang kripto, Coinbase
Coinbase ialah bursa kripto terbesar yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan merupakan penjaga Bitcoin terbesar setakat 2024. Ia juga memegang lesen institusi pembayaran utama (MPI) di Singapura. - Foto REUTERS

Pengguna wadah bursa kripto Coinbase di Singapura dan seluruh dunia akan mendapat akses kepada ‘stablecoin’ pertama yang disokong dolar Singapura, XSGD, tidak lama lagi.

Pengguna Coinbase dan Coinbase Advanced boleh membeli XSGD mulai 3 pagi, pada 30 September, hasil kerjasama antara Coinbase dengan pengeluar XSGD, StraitsX, kata kedua-dua syarikat itu pada 24 September.

‘Stablecoin’ ialah sejenis mata wang kripto yang direka untuk mengurangkan kesan turun naik harga, dengan nilainya terikat kepada mata wang, komoditi atau instrumen kewangan lain. 

Menurut pengurus aset antarabangsa BlackRock, ‘stablecoin’ kini menyumbang kira-kira 7 peratus daripada pasaran kripto.

Singapura dan Hong Kong masing-masing sedang berusaha mendapatkan bahagian daripada pasaran ‘stablecoin’ yang bernilai AS$250 bilion ($322 bilion) melalui langkah kawal selia.

‘Stablecoin’ XSGD disokong sepenuhnya oleh rizab yang dipegang bersama Bank DBS dan Standard Chartered. 

Setiap XSGD bersamaan dengan satu dolar Singapura, lapor The Business Times (BT).

Menurut Coinbase dan StraitsX, pelancaran ‘stablecoin’ XSGD akan membolehkan khidmat kewangan yang lebih pantas dan murah.

Mata wang kripto itu juga mudah diakses kerana membolehkan pembayaran tempatan dan rentas sempadan secara masa nyata.

Perdagangan rentas sempadan di Asia dijangka melepasi nilai AS$4 trilion ($5.2 trilion) menjelang 2030, menurut firma huraian kripto Ripple, pada Mei.

Firma itu berkata ‘stablecoin’ yang dikawal selia seperti XSGD, penting untuk membolehkan pertukaran nilai secara masa nyata, telus dan mematuhi peraturan rentas pasaran.

Penyedia prasarana pembayaran digital, StraitsX, telah mengeluarkan ‘stablecoin’ XSGD sejak 2020.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengiktiraf mata wang itu sebagai mematuhi secara asas, rangka kerja peraturan Mata Wang Stablecoin Tunggal yang bakal dilaksanakan.

StraitsX turut menerima beberapa lesen institusi pembayaran utama (MPI) daripada MAS pada 2024.

Coinbase ialah bursa kripto terbesar yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan merupakan penjaga Bitcoin terbesar setakat 2024. Ia juga memegang lesen MPI di Singapura.

“Dengan membolehkan akses terus yang lancar kepada ‘stablecoin’ berasaskan mata wang tempatan, kami sedang meruntuhkan halangan berasaskan dolar Amerika yang telah lama membataskan pasaran pertukaran mata wang digital,” kata pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif StraitsX, Encik Liu Tianwei.

XSGD kini boleh diperoleh terus melalui StraitsX, serta bursa terpusat seperti Bitstamp dan rangkaian blok awam seperti XRP Ledger.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg